TAHUN MELAWAT JOHOR DILANJUTKAN HINGGA 2027, RM24.75 JUTA DIPERUNTUKKAN

Kerajaan Negeri Johor melanjutkan kempen Tahun Melawat Johor (TMJ) hingga 31 Disember 2027 dengan peruntukan RM24.75 juta bagi mengekalkan momentum pelancongan, merancakkan ekonomi tempatan serta memperluas peluang pendapatan kepada Bangsa Johor.
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri Johor melanjutkan pelaksanaan Tahun Melawat Johor (TMJ) sehingga 31 Disember 2027 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM24.75 juta bagi merancakkan sektor pelancongan, memperkasa perniagaan tempatan serta membuka lebih banyak peluang pendapatan kepada Bangsa Johor.
YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, memberitahu kesinambungan kempen berkenaan penting bagi mengekalkan momentum kemasukan pelancong, selain ia dapat memperluas limpahan ekonomi kepada pemain industri dan komuniti setempat.
Pengumuman itu dibuat ketika pembentangan Belanjawan Johor 2027 di Dewan Negeri Johor yang turut merangkumi peruntukan bagi promosi pelancongan, penganjuran acara, penambahbaikan destinasi serta latihan tenaga kerja sektor berkenaan.
Daripada jumlah tersebut, peruntukan terbesar sebanyak RM7.4 juta disediakan bagi menaik taraf destinasi pelancongan ikonik di negeri ini antaranya Laman Bakau Parit Kasim di Muar, Pantai Minyak Beku di Batu Pahat dan Kolam Air Panas Labis di Segamat.
Selain itu, RM3 juta diperuntukkan bagi kerja menaik taraf Zoo Johor fasa ketiga, manakala RM2.7 juta disediakan untuk transformasi muzium dan galeri warisan Johor serta RM2 juta bagi memperkukuh produk pelancongan ikonik negeri.
Turut diberi perhatian, sebanyak RM2.6 juta diperuntukkan bagi menaik taraf kemudahan Taman Eko Rimba, RM1.7 juta untuk kemudahan di Taman Negara Tanjung Piai serta RM750,000 bagi kawasan rekreasi dan kemudahan ekopelancongan di hutan simpan.
Dalam usaha menarik lebih ramai pengunjung sepanjang 2027, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan sebanyak RM2.5 juta sebagai insentif kepada penganjur acara pelancongan serta RM1.3 juta bagi promosi dan publisiti Tahun Melawat Johor 2027.
Sementara itu, RM500,000 diperuntukkan bagi memperkukuh kerjasama bersama rakan strategik pelancongan, RM200,000 untuk latihan tenaga kerja sektor pelancongan dan RM100,000 bagi pelaksanaan program MATTA Connect 2027.
Usaha berkenaan turut menjadi kesinambungan usaha Kerajaan Negeri dalam menjadikan Johor sebagai destinasi pelancongan pilihan, di samping memperluas limpahan ekonomi menerusi penglibatan pemain industri dan usahawan tempatan.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Sejahtera Rakyat’ pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-6 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#BelanjawanJohor2027
#TahunMelawatJohor2027
#PelanconganJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



