JOHOR PERKENAL PROGRAM SEMARAK PUASA SUNAT SETIAP KHAMIS, PERKUKUH SEMARAK MAGHRIB DAN ISYAK

Pelaksanaan program itu turut memperkukuh Program Semarak Maghrib dan Isyak yang mula diperkenalkan pada Ogos lalu, sekali gus menjadikan masjid sebagai ruang menyemai ukhuwah dan merapatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat melalui penghayatan ibadah secara bersama. | Foto Nurina Aisyah.
#IskandarPuteri – Kerajaan Johor memperuntukkan sebanyak RM9 juta menerusi Belanjawan Johor 2027 bagi memperkukuh penghayatan syiar Islam dalam masyarakat, termasuk pelaksanaan Program Semarak Puasa Sunat pada setiap Khamis sebagai kesinambungan kepada usaha mengimarahkan masjid dan menyuburkan amalan sunnah di negeri ini.
Menerusi program berkenaan, pemimpin dan rakyat di negeri ini digalakkan supaya mengamalkan amalan puasa sunat pada setiap Khamis, sebelum berkumpul untuk berbuka puasa secara sederhana, diikuti solat Maghrib berjemaah, jamuan serta solat Isyak berjemaah.
Pelaksanaan program itu turut memperkukuh Program Semarak Maghrib dan Isyak yang mula diperkenalkan pada Ogos lalu, sekali gus menjadikan masjid sebagai ruang menyemai ukhuwah dan merapatkan hubungan antara pemimpin dengan rakyat melalui penghayatan ibadah secara bersama.
Sebanyak RM6 juta disediakan bagi meneruskan Program Semarak Maghrib dan Isyak, termasuk pelaksanaan Program Semarak Puasa Sunat pada 2027, manakala RM3 juta pula diperuntukkan bagi Program Semarak Subuh Johor, meningkat daripada RM2.9 juta pada tahun sebelumnya.
Usaha berterusan ini mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri dalam membangunkan Johor secara menyeluruh, bukan sahaja melalui kemajuan ekonomi dan infrastruktur, malah dengan membentuk masyarakat yang beriman, bertakwa serta berakhlak mulia.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’ pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



