JUALAN KASIH JOHOR DIPERLUAS LEBIH DUA KALI GANDA, 748 LOKASI PADA 2027

Peluasan program yang dilaksanakan sejak 2023 itu turut membolehkan manfaat Jualan Kasih Johor diperluas kepada lebih ramai rakyat termasuk keluarga yang memerlukan, selain memastikan akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan dapat dinikmati di lebih banyak lokasi di seluruh negeri. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM30 juta menerusi Belanjawan Johor 2027 bagi memperluas Program Jualan Kasih Johor kepada 748 lokasi di seluruh negeri, berbanding 336 lokasi sebelum ini, bagi membantu lebih ramai rakyat mendapatkan barangan keperluan asas pada harga mampu milik.
Menerusi program berkenaan, rakyat berpeluang mendapatkan kombo barangan keperluan asas yang merangkumi seekor ayam, sepapan telur dan dua liter minyak masak pada harga RM15 sahaja, sekali gus membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan meringankan beban kos sara hidup rakyat di negeri ini.
Peluasan program yang telah dilaksanakan sejak 2023 itu turut membolehkan manfaat Jualan Kasih Johor dinikmati lebih ramai rakyat, termasuk keluarga yang memerlukan, selain memastikan akses kepada barangan keperluan asas pada harga berpatutan dapat diperluas di lebih banyak lokasi di seluruh negeri.
Langkah memperluas lokasi jualan kepada 748 lokasi dibuat susulan sambutan menggalakkan terhadap program berkenaan, selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan bantuan yang disediakan bukan sahaja diteruskan, malah dipertingkatkan agar lebih ramai Bangsa Johor dapat menikmati penjimatan dalam perbelanjaan harian, khususnya bagi keperluan barangan dapur.
Inisiatif ini merupakan Tekad Pertama di bawah Teras Ketiga: Jaringan Keselamatan Sosial dalam Belanjawan Johor 2027, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri untuk terus memastikan kemajuan dan pembangunan Johor turut diterjemahkan kepada manfaat langsung yang dapat dirasai rakyat di negeri ini tanpa ada yang terkecuali.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor, membentangkan Belanjawan Johor 2027 bertemakan *Johor Maju, Rakyat Sejahtera* pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMajuRakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



