PKJ DIPERKASA, RM122 JUTA DISEDIAKAN UNTUK BANTUAN BELI, MASUK DAN SEWA RUMAH

Bantuan Deposit Sewa Rumah sebanyak RM1,000 turut diperkenalkan sebagai inisiatif baharu yang bakal memanfaatkan seramai 10,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi meringankan kos awal menyewa kediaman. | Foto Nurina Aisyah.
#IskandarPuteri – Agenda perumahan rakyat terus menjadi keutamaan Kerajaan Negeri apabila memperuntukkan sebanyak RM122 juta menerusi inisiatif Perumahan Kasih Johor (PKJ) bagi membantu 41,000 Bangsa Johor untuk mendapatkan kediaman sendiri, menampung kos memasuki rumah baharu serta meringankan beban pembayaran sewa rumah.
Menerusi Belanjawan Johor 2027 itu, Bantuan Beli Rumah Pertama diteruskan dengan pemberian RM5,000 kepada 15,000 penerima membabitkan peruntukan RM75 juta, manakala Bantuan Masuk Rumah Pertama sebanyak RM2,000 bakal memanfaatkan seramai 6,000 penerima dengan peruntukan RM12 juta.
Selain itu, Kerajaan Negeri turut meneruskan Bantuan Sewa Rumah sebanyak RM2,500 yang akan memanfaatkan 10,000 penerima dengan peruntukan RM25 juta bagi membantu mengurangkan komitmen kewangan bulanan golongan yang memerlukan.
Selain itu, Bantuan Deposit Sewa Rumah sebanyak RM1,000 turut diperkenalkan sebagai inisiatif baharu yang bakal memanfaatkan seramai 10,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM10 juta bagi meringankan kos awal menyewa kediaman.
Pelaksanaan empat bentuk bantuan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan isu pemilikan dan penyewaan rumah terus diberi perhatian, sekali gus membantu lebih ramai Bangsa Johor menikmati kediaman yang lebih selesa tanpa terbeban dengan kos kewangan permulaan yang tinggi.
Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor membentangkan Belanjawan Johor 2027 bertemakan ‘Johor Maju, Rakyat Sejahtera’ pada Mesyuarat Kedua (Belanjawan 2027) bagi Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-16 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.
#JohorSafeZone
#BelanjawanJohor2027
#JohorMaju,RakyatSejahtera
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



