EXCO ALAM SEKITAR TINJAU TAPAK PROJEK PUNCA BANJIR


EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar melakukan tinjauan Ops Lumpur | Sumber Facebook Raven Kumar Krishnasamy.

 

ISKANDAR PUTERI — EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K. Raven Kumar melakukan tinjauan Ops Lumpur, semalam.

Tinjauan tersebut dilakukan terhadap tapak projek dipercayai menjadi punca berlakunya banjir di Johor Bahru dan Pasir Gudang, semalam.

Menurut beliau, turut dilaksanakan pemantauan terhadap pematuhan Pelan Kerja Tanah serta Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak (ESCP).

“Masalah pencemaran sumber air dan alam sekitar boleh berlaku di mana air kelodak yang mengalir ke sistem saliran seterusnya ke dalam sungai berhampiran terutamanya ketika serta selepas hujan daripada kawasan projek pembangunan yang tidak terancang.

“Dalam masa yang sama, masalah banjir lumpur dan runtuhan cerun juga boleh berlaku,” katanya seperti dipetik dari Facebook rasminya, hari ini.

Justeru, Raven Kumar memberitahu telah mengingatkan para pemaju supaya mematuhi kelulusan Pelan Kerja Tanah dan ESCP yang telah disemak Jabatan Pengairan dan Saliran serta diluluskan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Saya juga telah mengarahkan perkara ini perlu dipantau secara berkala agar banjir tidak berlaku secara serius,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor