“PENDIDIKAN MISI UTAMA SAYA” – TMJ


Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim bertitah, meletakkan keutamaan kepada usaha meningkatkan mutu pendidikan di negeri Johor. | Sumber foto: Facebook HRH Crown Prince of Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim meletakkan keutamaan kepada usaha meningkatkan mutu pendidikan di negeri ini.

 

Baginda Tunku bertitah, usaha tersebut merupakan misi yang paling penting dan terbesar kepadanya sebagai Tunku Mahkota Johor demi rakyat secara keseluruhan.

 

“Mutu pendidikan dalam silibus pendidikan itu, untuk pada masa akan datang, itu adalah misi saya yang terbesar sekali. Jadi, itu adalah keutamaan saya, macam mana saya nak meningkat mutu silibus pendidikan dalam negeri Johor, demi rakyat Johor saya semua.

 

“Itu adalah misi saya yang paling besar sekali, lebih penting daripada bola sepak dan segala-galanya. Pendidikan akan menjadi misi utama kerana ia merupakan penyelesai masalah terhadap apa yang kami sedang melalui dalam negara kami,” titah Tunku Ismail dalam temubual eksklusif bersama stesen radio Hot FM menerusi segmen Bekpes Hot, hari ini.”

 

Tunku Ismail sejak sekian lama memberikan penekanan terhadap kepentingan pendidikan berkualiti yang menjadi kunci kemajuan negara dalam pelbagai bidang meliputi sukan bola sepak.

 

Baginda Tunku sebelum ini juga pernah bertitah mengenai usaha menambah baik sistem pendidikan di Johor termasuklah melihat kepada kemungkinan perlunya rombakan silibus sedia ada.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor