MITIGASI PENTING ELAK BANJIR BERULANG: TMJ


Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim mahu kerajaan bertindak sewajarnya terutama dalam langkah mitigasi banjir bagi mengatasi bencana tersebut terutama di negeri ini. / Gambar Ihsan Facebook HRH Crown Prince Of Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, mahu kerajaan bertindak sewajarnya terutama dalam langkah mitigasi banjir bagi mengatasi bencana tersebut terutama di negeri ini.

 

Walaupun persiapan membantu rakyat bagus, baginda Tunku bertitah, lebih penting untuk mengelakkan bencana itu berlaku setiap tahun.

 

“Macam contoh ‘flood mitigation system’ di Negeri Johor, memang perlu sangat kerana untuk mengelakkan benda-benda ini daripada berlaku setiap tahun.

 

“Kesian kepada orang ramai, kepada rakyat.. susah kerana barang-barang mereka rosak, rumah dan seterusnya. Jadi saya harap kerajaan boleh bertindak dengan sebaik mungkin,” titah Tunku Mahkota Johor dalam temubual khas bersama stesen radio Hot FM menerusi segmen Bekpes Hot, hari ini.

 

Bekpes Hot merupakan segmen kendalian Johan, Fara Fauzana dan AG yang turut menampilkan Penasihat Belia Johor, Khairy Jamaluddin atau KJ sebagai penyampai di Hot FM.

 

Tunku Ismail yang telah berkenan berangkat ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bertemu dengan mangsa banjir saban tahun, mahu masalah itu diatasi secepat mungkin.

 

Selain itu, baginda Tunku turut merakamkan penghargaan kepada pelbagai pihak yang telah terlibat dalam menguruskan banjir serta membantu rakyat Johor di lapangan.

 

“Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada setiap agensi-agensi kerajaan dan juga Southern Volunteers (SV) yang memainkan peranan pergi kawasan-kawasan dan juga membantu mangsa-mangsa banjir,” titah Tunku Ismail.

 

Mengenai perkembangan pertubuhan SV, Tunku Mahkota Johor bertitah, penubuhan SV secara rasmi sejak Disember 2020 bertujuan menggalakkan penyertaan para belia dalam aktiviti masyarakat dan juga sukarelawan.

 

“Contohnya membantu mangsa-mangsa banjir ataupun apa sahaja bencana alam. SV juga dijadikan anggota jawatankuasa tetap dalam Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Johor sejak 2021.

 

“Jadi ahli-ahli, buat masa ini kami sudah ada 23,000 lebih belia SV di seluruh negeri Johor, (di) setiap daerah. Banyak aktiviti-aktiviti yang kami (SV) membantu masyarakat,” titah baginda.

 

Ditanya mengenai pendaftaran sebagai sukarelawan SV, Tunku Mahkota Johor bertitah pendaftaran terbuka kepada rakyat yang mahu memberikan sumbangan bakti kepada masyarakat.

 

“Ia terbuka kepada semua, bukan sahaja orang Johor sahaja. Ia terbuka kepada semua. Siapa yang nak memberi sumbangan ataupun menyumbang bakti kepada masyarakat,” titah Tunku Ismail.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor