KERAJAAN JOHOR USAHA TUBUH MAJLIS MUAFAKAT KANAK-KANAK
ISKANDAR PUTERI — Kerajaan negeri sedang usahakan penubuhan Majlis Muafakat Kanak-Kanak Negeri Johor bagi menangani isu berkaitan kanak-kanak terutama mengenai penderaan dan pengabaian.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail berkata, majlis tersebut akan dipengerusikan olehnya selaku EXCO kerajaan negeri bertanggungjawab.
“Manakala Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) akan menjadi urusetia bagi majlis ini. Di peringkat daerah, Pejabat Daerah akan mempengerusikan Majlis Muafakat Kanak-Kanak Negeri Johor (ini) dan diurusetiakan oleh YPKDT.
“Majlis Muafakat Kanak-Kanak ini diselaraskan dengan ‘Convention On The Rights Of The Child’ (CRC) sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 12 dan 13 yang menghormati pandangan dan perspektif kanak-kanak.
“Majlis ini juga berperanan untuk mereka bentuk satu sistem pengurusan yang cekap dan berkesan. Mengesyorkan perkhidmatan yang ditujukan khusus untuk memenuhi keperluan kanak-kanak dan membangunkan program-program advokasi berkaitan kanak-kanak,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Penawar, Fauziah Misri mengenai usaha kerajaan terhadap usaha menangani isu penderaan kanak-kanak termasuk menggalakkan penglibatan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, Khairin-Nisa berkata, Pasukan Sokongan Kanak-Kanak Negeri Johor yang telah ditubuhkan, akan diberikan latihan menggunakan Modul Lindungi Permata Johor dibangunkan dengan kerjasama pakar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Ujarnya, program itu akan melibatkan 300 ahli masyarakat yang akan melalui lapan siri bengkel termasuk NGO, sukarelawan atau individu terlibat dengan pengurusan kes kanak-kanak memerlukan perlindungan akibat didera bagi tahun 2023.
Selain itu, beliau memberitahu NGO mempunyai kepakaran tertentu dilibatkan menganggotai Jawatankuasa Penggubalan Pindaan Akta Dasar serta Pelan Tindakan Berkaitan Kanak-Kanak serta Jawatankausa Tindakan yang melibatkan kanak-kanak.
“Mereka juga dilibatkan dalam sesi libat urus bagi mendapatkan pandangan, cadangan dan keperluan pembangunan kapasiti pihak berkepentingan bagi meningkatkan kecekapan prosedur pengurusan kes penderaan kanak-kanak. NGO Johor juga digalakkan untuk menjalankan kempen-kempen kesedaran dan advokasi kepada pihak-pihak yang berkepentingan di peringkat komuniti.
“Pihak jabatan juga sentiasa menyediakan platform kerjasama dengan penganjuran bersama dialog dengan pihak NGO. NGO yang mempunyai kepakaran tertentu boleh membantu dengan menyediakan fasiliti seperti pusat jagaan kanak-kanak yang memerlukan pemuliharaan dan perlindungan serta perkhidmatan sokongan kepada mangsa penderaan,” katanya.
Khairin-Nisa berkata, kerajaan negeri juga berkolaborasi strategik dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Jabatan Kesihatan Negeri Johor bagi pengurusan pendaftaran dan pemantauan terhadap Pusat Jagaan Kanak-Kanak berdaftar.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor