151 TAPAK MENARA BARU SIAP JENDELA FASA 1


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh | Sumber foto MedKom.

 

ISKANDAR PUTERI — Sebanyak 151 tapak menara baru telah siap dibina di bawah pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) bagi Fasa 1 di negeri ini, sehingga suku keempat tahun lalu.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh berkata, untuk tempoh tersebut juga, sebanyak 4,452 stesen pemancar dinaiktaraf selain 383,724 premis tersedia sambungan gentian optik dan 11 lokasi jalur lebar satelit telah siap dipasang.

 

“Perkembangan terkini pelaksanaan JENDELA Fasa 1 sehingga suku keempat tahun 2022 di DUN Gambir, tapak menara baru perancangan tiga siap dua. Naiktaraf stesen pemancar, perancangan 30 siap 30. Ketersediaan sambungan gentian optik premis, perancangan 5,237 siap 5,237.

 

“Dimaklumkan juga, lokasi bagi pembinaan tiga buah menara baru adalah seperti berikut, di Kampung Parit Pulai beroperasi, Kampung Parit Beguk beroperasi dan Kampung Sagil Parit 1 dalam pelaksanaan,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Pembukaan Rasmi) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Ke-15, semalam.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Gambir, Sahrihan Jani mengenai status program pelan JENDELA untuk keseluruhan negeri Johor.

 

Norlizah berkata, usaha penambahbaikan liputan dan rangkaian merupakan usaha berterusan kerajaan agar kualiti pengalaman pengguna sentiasa diperbaiki dari masa ke masa.

 

Ujarnya, JENDELA Fasa 2 akan memberi tumpuan bagi merapatkan lagi jurang digital yang tidak tercapau ketika Fasa 1.

 

“Maklum balas orang awam bagi kawasan secara spesifik yang masih mempunyai masalah perkhidmatan amat dialu-alukan bagi membolehkan tindakan selanjutnya diambil,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor