RMMJ BANTU BANGSA JOHOR MILIKI RUMAH PERTAMA


Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) yang terletak di Kempas Utama memiliki tiga kategori, Kategori A, B dan C.

 

ISKANDAR PUTERI — Memiliki kediaman yang selesa merupakan impian semua manusia terutama sekali kepada mereka yang sudah mendirikan rumah tangga dan mahu membina kehidupan berkeluarga.

 

Meskipun begitu, untuk memiliki mahligai impian itu tidak semudah yang disangka kerana pelbagai prosedur perlu dilalui sebelum berjaya memilikinya.

 

Namun, Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ) selaku pihak yang menguruskan perumahan dan hartanah di negeri ini, komited bagi membantu rakyat Johor untuk memiliki kediaman sendiri.

 

Pembeli Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Muhammad Kamarulzaman, 27, memberitahu menarik nafas lega apabila permohonan bagi mendapatkan kemudahan perumahan disediakan oleh kerajaan negeri berjaya.

 

Menurutnya, kegembiraan itu dikongsi bersama isterinya, Nur Khairin Najiha Mohd Zaidi, 27, apabila permohonan dibuat terpilih ketika sesi pengundian terbuka RMMJ.

 

Muhammad bersama isterinya, Khairin, merupakan pembeli Rumah Mampu Milik (RMMJ) yang terpilih untuk mendapatkan perumahan  di Kempas Utama.

 

“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada kerajaan kerana terpilih untuk mendapatkan perumahan ini yang disifatkan sebagai ‘durian runtuh’ bagi saya dan isteri.

 

“Ia sudah tentu memberi kelegaan terhadap kami berdua yang sebelum ini memang bercita-cita untuk memiliki kediaman sendiri sejak dari awal kami diijab kabul lagi,” katanya yang juga pekerja di sektor swasta.

 

Muhammad yang kini memiliki RMMJ Kategori B di Pangsapuri Beringin, Kempas Utama berkata, kediaman yang sudah didudukinya itu amat selesa dan mempunyai pelbagai kemudahan asas di sekitar kawasan berkenaan.

 

“RMMJ ini terletak di tempat-tempat yang strategik, pusat beli-belah, stesen bas dan sebagainya, malah jarak daripada rumah ke tempat kerja juga tidak jauh berikutan pelbagai akses jaringan jalan raya berdekatan lokasi ini.

 

“Selain itu, di sini juga terdapat banyak kemudahan asas lain seperti surau, masjid, taman permainan, lif, parkir, kemudahan golongan kurang upaya (OKU) dan tempat pengumpulan sampah menyebabkan ia amat selesa bagi kami yang tinggal di sini,” katanya.

 

Sementara itu, Nur Khairin Najiha berkata, beliau sememangnya amat bersyukur kerana diberikan peluang untuk memiliki kediaman RMMJ yang disifatkan sebagai satu rezeki yang tidak disangka.

 

“Alhamdulillah, RMMJ ini menawarkan harga rumah yang sememangnya mampu dimiliki oleh golongan berpendapatan sederhana berbanding perumahan konvensional yang agak mahal. Malah rumah yang disediakan juga berkualiti tinggi, setanding perumahan yang lain.

 

“Selain itu, saya berharap dengan adanya rumah RMMJ ini secara tidak langsung seolah-olah menjadi syurga kecil bagi saya dan suami serta keluarga kami pada masa akan datang,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor