PENDIDIKAN KOMPONEN PENTING REALISASI AGENDA MAJU JOHOR 2030


Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri sudah merencana perancangan untuk mencapai sasaran tersebut dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang. | Foto MDJ, Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Bidang pendidikan penting dalam mencorak masa depan Negeri Johor bagi mencapai misi menjadi negeri maju menjelang 2030.

 

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, kerajaan negeri sudah merencana perancangan untuk mencapai sasaran tersebut dalam tempoh tujuh tahun dari sekarang.

 

“Di peringkat negeri, memang kita ada cita-cita yang besar. Johor berhasrat menjadi negeri maju (tahun) 2030.

 

“Kita lakukan ini adalah untuk generasi masa depan yang akan mewarisi kepimpinan negeri ini, tetapi, ianya (negeri maju) mustahil untuk dicapai tanpa kualiti pendidikan yang tinggi,” katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Guru 2023 di Sekolah Tun Fatimah di sini, hari ini.

 

Onn Hafiz berkata, beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan dan Komunikasi Negeri Johor, Norlizah Noh sentiasa bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi mencungkil potensi pemimpin masa depan.

 

“Kita juga akan menyediakan biasiswa penuh membantu para pelajar dari keluarga B40 untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat universiti,” katanya.

 

Dalam ucapan sama, beliau menitipkan pesanan kepada para pelajar agar tidak lupa sumbangan dan jasa warga pendidik selain kembali menabur bakti kepada negeri.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor