4 NEGARA CARI TITIK PERSAMAAN DALAM BERKARYA
JOHOR BAHRU — Kesungguhan empat pelukis nusantara mencari titik persamaan dalam berkarya diterjemahkan dalam penganjuran Pameran SAUH : 4 Pelukis 4 Negara.
Pelukis Brunei, Pengiran Abd. Wahal Hassan Al Abbas, 65, menyifatkan pengabunggan karya itu merupakan suatu perkara baru dan memerlukan pemahaman mendalam dari segi sejarah, budaya dan nilai setiap negara.
“ Ia mengambil masa yang agak lama dalam mencari titik persamaan sebelum ia boleh diangkat menjadi satu tema. Akhirnya kami memilih tema SAUH sebagai satu ‘metafora’ penemuan dalam pelayaran setiap setiap negara.
“Kalau dulu kita bawa rempah ratus dalam berdagang, kini kita bawa karya untuk berkenalan. Berhenti di sini (pameran) dengan menurunkan ‘sauh’ untuk bertukar idea dan budaya“, katanya ketika ditemui Media Digital Johor selepas Majlis Pelancaran SAUH: 4 Pelukis 4 Negara pada Ahad.
Bagi Khalil Zuhdy Lawnarain, 50, pelukis dari Indonesia, berkata, pameran itu menjadi platform untuk mempelajari teknik dan sentuhan budaya antara pelukis.
Ujarnya, beliau menggunakan teknik lukisan seakan seperti langkah pencak silat dengan menggambarkan seni pertahanan yang sudah berasimilasi di Indonesia.
“Manakala berbeza dengan teknik Singapura, yang gemar menggunakan teknik gurisan dan hiris agar kelihatan lebih kontemporari.
“Kita saling belajar antara satu sama lain,” katanya yang juga mengetengahkan karya berjudul Ibu Soko, figura wanita yang berilmu dan menjadi pakar rujuk perjalanan adat dalam masyarakat Minangkabau.
Pelukis Malaysia, Norazlan Ahmad, 47, memberitahu menjadi satu kebanggaan baginya apabila dapat bergabung dengan pelukis dari negara lain yang dipertemukan di negara ini.
“ Saya mempunyai studio di Skudai, kebetulan saya wakil Malaysia tentunya peluang saya untuk mampu membawa karya saya lebih banyak berbanding pelukis negara lain. Dapat saya pamerkan kepada mereka sebahagian hasil kerja saya.
“ Saya juga dapat mengangkat budaya negara terutamanya negeri Johor dalam penghasilan karya abstrak saya,” katanya yang mempamerkan sebanyak 16 buah karya di pameran tersebut.
Sementara itu, Abu Jalal Sarimon, 59, pelukis dari Singapura berharap pameran serumpun itu dapat diteruskan bagi melahirkan generasi yang memartabatkan seni lukisan khususnya di peringkat nusantara.
Pameran SAUH : 4 Pelukis 4 Negara berlangsung mulai 11 Jun hingga akhir September ini, bertempat di Galeri Seni Johor, Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor.
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor