FORUM BANDAR PINTAR JOHOR MEDAN RANGKA STRATEGI TRANSFORMASI BANDAR


Majlis Perasmian Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023 disempurnakan oleh YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

JOHOR BAHRU — Program Forum Bandar Pintar Johor 2023 yang dilaksanakan bakal menjadi medan utama bagi merangka strategi tuntas transformasi bandar ke arah bandar pintar yang lebih dinamik.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata Pelan Tindakan Bandar Pintar Negeri Johor 2030 menggariskan tujuh komponen sebagai fokus utama bagi merealisasikan hasrat tersebut.

 

“Fokus pertama iaitu ‘Smart Goverment’ bagi membolehkan rakyat (di negeri ini) mendapatkan akses perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dan juga melambangkan tahap integriti, akauntabiliti dan ketelusan agensi.

 

“Di samping itu, Kerajaan Negeri juga memberi fokus kepada melahirkan bakat digital berkemahiran tinggi bagi menggalakkan inovasi dan memenuhi keperluan industri di bawah ‘Smart People,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Forum Bandar Pintar Johor 2023 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, hari ini.

 

Majlis Perasmian Forum Bandar Pintar Johor (JSCF) 2023 disempurnakan oleh YAM Tunku Tun Aminah Binti Sultan Ibrahim.

 

Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Johor, YB Tan Sri Dato’ Dr. Haji Azmi Rohani dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor.

 

Tambah Onn Hafiz, sebanyak 55 projek rintis bandar pintar bakal menjadi projek ‘quick win’ yang akan dilaksanakan oleh 16 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Johor.

 

“Setiap PBT dan juga pihak Iskandar Regional Development Authority (IRDA) akan mempunyai projek perintis di kawasan masing-masing.

 

“Sekiranya pelaksanaan projek perintis tersebut berjaya diadaptasi, maka ia akan diterapkan di PBT-PBT yang lain mengikut kesesuaian,” katanya.

 

Beliau turut menekankan enam kompenan lain yang menjadikan Johor sebagai bandar pintar iaitu Smart People, Smart Economy, Smart Living, Smart Mobility, Smart Environment dan Smart Digital Infrastructure.

 

“Menjadi harapan saya, program JSCF 2023 ini akan berjaya merangka strategi yang tuntas dengan mengambil kira 4 juta Bangsa Johor,” katanya.

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor