PUTERA SULTAN JOHOR, RAKYAT TERUJA AKSI KAPAL TERBANG KAWALAN JAUH


YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim dan YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim teruja menyaksikan persembahan kapal terbang kawalan jauh Aerofly Johor RC Club. | Foto MDJ Wira Anggara

 

KOTA TINGGI — Aksi memukau penerbangan kapal terbang kawalan jauh dipersembahkan Aerofly Johor RC Club di Kulim Eco Trail Retreat, di sini, menjadi antara tarikan Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023.

 

Lebih istimewa kepakaran ahli Aerofly Johor mengendalikan kapal terbang kawalan jauh tersebut disaksikan oleh YAM Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Ibni Sultan Ibrahim.

 

Berangkat sama, YAM Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim serta YAM Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim.

 

Pengerusi Aerofly Johor, Masuri Hasim berkata, pihaknya berbesar hati dapat mempersembahkan kemahiran mengendalikan kapal terbang kawalan jauh itu kepada paduka anakanda Sultan Johor dan orang ramai.

 

Menurutnya, KMJ 2023 merupakan yang kali ketiga Aerofly Johor dijemput membuka ‘booth’ pameran dan demonstrasi menaikkan pesawat berkenaan di udara.

 

“Ini kali ketiga kami terlibat dengan acara Kembara Mahkota Johor. Kali pertama pada tahun 2016 di Kampung Lukut, Kota Tinggi diikuti tahun 2017 di Kampung Pasir Gudang.

 

“Alhamdulillah tahun ini, Kami berterima kasih kepada Sekretariat KMJ 2023 kerana sekali lagi menjemput kami bagi memeriahkan acara,” katanya ketika ditemui Media Digital Johor.

 

Masuri berkata, Aerofly Johor telah melakukan persiapan selama dua bulan sebagai persediaan untuk KMJ 2023 melibatkan sesi ‘rehearsal’ menerbangkan kapal terbang kawalan jauh itu.

 

“Apa yang kami persiapkan telah berjalan dengan lancar. Kami teruja malah berbangga Putera Sultan Johor dapat bersama menikmati persembahan kapal terbang kami.

 

“Begitu juga para pengunjung yang hadir untuk saksikan sendiri dengan lebih dekat kapal terbang kawalan jauh kami. Berkat doa, aksi menerbang dan mendaratkan kapal terbang sempurna,” katanya.

 

Kulim Eco Trail Retreat merupakan destinasi persinggahan pertama rombongan KMJ 2023 diketuai DYAM Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim.

 

Berangkat sama dalam konvoi Diraja, YAM Che’ Puan Besar Khaleeda.

 

Pelbagai aktiviti berlangsung antaranya penyampaian sumbangan Yayasan Sultan Ibrahim Johor, Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

 

Selain itu, turut diadakan demonstrasi pembuatan kuih goyang, gubahan kuih berasaskan ubi, pertandingan tarik tali, aktiviti memanah, pertandingan push bike disusuli dengan majlis santapan dan persembahan kurniaan cenderahati.

 

Terdahulu, majlis pelepasan KMJ edisi ke-23 merentasi perjalanan sejauh 879 kilometer berlangsung di Istana Pasir Pelangi, dekat Johor Bahru.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor