AGENDA BANDAR PINTAR PACU JOHOR SEBAGAI NEGERI BERDAYA HUNI 2030

YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Negeri komited menjadikan pembangunan bandar pintar sebagai salah satu agenda utama ke arah merealisasikan sasaran Johor sebagai negeri berdaya huni menjelang tahun 2030 yang digerakkan oleh PLANMalaysia@Johor.

 

Komitmen berkenaan membuahkan hasil dengan kejayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dan Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) mencapai tahap “Developing Smart City” menerusi penilaian matrik Penarafan Bandar Pintar Kebangsaan.

 

Turut menerima pencapaian sama adalah Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Majlis Perbandaran Segamat (MPS) dan Majlis Daerah Tangkak (MDT) dengan Kerajaan Negeri mensasarkan kesemua 16 PBT di Johor memperoleh penarafan Bandar Pintar sekali gus meletakkan Johor setanding dengan bandar-bandar pintar antarabangsa.

 

Malah komitmen tersebut turut diperluaskan menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Bandar Pintar Majlis Daerah Labis (MDL) yang diperuntukkan sebanyak RM150,000 selain pemasangan Stesen Pemantauan Kualiti Udara ‘Real-Time’ di lapan PBT dengan kos keseluruhan RM240,000.

 

Melalui pelaksanaan Penarafan Bandar Pintar, usaha itu memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem teknologi dan keupayaan digital di peringkat PBT sejajar pendekatan keputusan berasaskan data analitik serta teknologi seperti Internet of Things (IoT), Big Data, Kecerdasan Buatan (AI) dan Automasi.

 

Selain itu, Johor juga bakal menganjurkan edisi kedua Johor Smart City Forum 2025 (JSCF 2025) pada 22 hingga 24 September ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor menghimpunkan penyertaan pelbagai pihak berkaitan seperti kementerian, agensi kerajaan, pelabur, pemaju hartanah dan syarikat teknologi dari dalam serta luar negara.

 

#JohorSmartCity
#BandarPintar
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor