AGENDA PEMBANGUNAN PERIUK NASI SELATAN TETAP MENJADI KEUTAMAAN


Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Johor tetap menjadikan agenda pembangunan ‘Periuk Nasi Selatan’ sebagai keutamaan dalam Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor meskipun keluasan sawah padi di negeri ini, kecil berbanding negeri lain.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor, Dato’ Zahari Sarip berkata, Johor memiliki 10 kawasan tanaman sawah padi dengan keluasan 2,254.39 hektar.

Menurutnya, walaupun dikategorikan sebagai sawah padi di luar jelapang, kerajaan negeri tetap fokus dalam usaha meningkatkan produktiviti pengeluarannya.

“Pada tahun 2022, Jabatan Pertanian Negeri Johor telah melaksanakan program insentif peningkatan hasil padi menerusi enam program atau projek dengan jumlah keseluruhan RM3.2 juta kepada pesawah sama ada secara individu atau berkelompok.

“Ia merangkumi insentif pengapuran tanah sawah dan input tambahan, insentif peralatan tanah sawah, insentif program mekanisasi, insentif pembaikan infrastruktur sawah, insentif pengurusan air sawah dan insentif kawalan bersepadu dan pengurusan tanah serta pembajaan,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Sungai Balang, Selamat Takim mengenai perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan sawah sebagai tumpuan dalam usaha sekuriti makanan.

Zahari berkata, pembangunan sawah di Sungai Balang melibatkan 92 pesawah turut tidak terkecuali dan menjadi fokus dalam usaha untuk memperkasakan hasil pengeluarannya.

Ujarnya, lebih RM1 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan sawah padi di Sungai Balang pada tahun ini menerusi pelbagai jenis projek atau insentif pembangunan.

Selain itu, beliau memberitahu dalam usaha menggalakkan pesawah meningkatkan pengeluaran hasil padi, kerajaan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) turut memberikan insentif kepada pesawah bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi.

“Kerajaan negeri menerusi agensi-agensi yang berkaitan akan terus komited dalam memperkasakan aktiviti sawah padi sebagai salah satu fokus dalam Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor.

“Pihak komuniti pesawah juga disaran untuk sentiasa bermuafakat dalam melaksanakan aktiviti penanaman sawah padi ini agar segala perancangan dan objektif yang disasarkan tercapai,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor