JAINJ MENYELARAS KURIKULUM AGAMA, AKADEMIK INSTITUSI TAHFIZ SWASTA


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid | Unit Media dan Komunikasi Pejabat Menteri Besar Johor.

 

ISKANDAR PUTERI — Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berusaha menyelaras kurikulum agama dan akademik di seluruh institusi tahfiz swasta di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, ia agar pelajar institusi tahfiz itu mendapat pendidikan agama dan akademik yang seimbang bagi meneruskan hala tuju ke peringkat pengajian lebih tinggi seperti di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dan lain-lain.

“Pihak Bahagian Pendidikan Islam JAINJ sedang membangunkan Kurikulum Tahfiz yang merangkumi subjek Al-Quran, Akademik dan Dini (agama) yang akan diselaraskan penggunaannya oleh semua institusi tahfiz swasta Negeri Johor.

“Kurikulum ini dibangunkan secara bersama dengan Persatuan Institusi Tahfiz Johor (PINTA Johor) sebagai pihak yang mewakili institusi tahfiz,” katanya pada Mesyuarat Keempat (Belanjawan Johor 2023) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-15, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Tanjung Surat, Aznan Tamin sama ada kerajaan negeri mempunyai perancangan khusus membantu menentukan hala tuju anak muda yang melanjutkan pengajian ke madrasah.

Mohd Fared berkata, Bahagian Pendidikan Islam JAINJ juga telah berkolaborasi dengan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) bagi menjayakan program intervensi Sijil Pelajaran Malaysia anjuran Kementerian Pendidikan.

“Program Intervensi Tahfiz Sijil Pelajaran Malaysia merupakan antara KPI yang akan saya laksanakan bermula tahun 2023.

“Program Intervensi Tahfiz mewajibkan pelajar tahfiz yang berfokus daripada Madrasah Tahfiz Swasta berumur 17 tahun ke atas untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor