AKAUN TIKTOK ‘BAHAGIAN SOKONGAN KELUARGA’ SAMPAIKAN AKSES MAKLUMAT PERUNDANGAN

YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir menyempurnakan Program Literasi Undang-Undang Syariah Bahagian Sokongan Keluarga Tahun 2025. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor (JKSNJ) menerusi Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) melancarkan akaun media sosial TikTok dalam usaha mendidik dalam menyampaikan maklumat berkaitan perundangan kepada masyarakat khususnya umat Islam di negeri ini dengan cara yang lebih santai dan mudah difahami.

 

Inisiatif ini secara tidak langsung mampu menjadi tunjang utama dalam memperkasakan pengetahuan masyarakat khususnya di Negeri Johor tentang undang-undang Islam dan hak yang mereka miliki, selain mendidik mereka untuk sentiasa peka terhadap peraturan serta undang-undang berkaitan hak serta perlindungan keluarga.

 

Program yang diadakan bersempena sambutan 100 tahun Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) ini juga adalah antara usaha dalam mengiktiraf tanggungjawab umat Islam dengan memperkukuh pemahaman terhadap hak yang boleh dituntut di Mahkamah Syariah bagi menyelesaikan pelbagai isu dan konflik khususnya berkaitan dengan hal ehwal perkahwinan, harta pusaka, nafkah dan sebagainya.

Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor hadir menyempurnakan Program Literasi Undang-Undang Syariah Bahagian Sokongan Keluarga Tahun 2025 dan gimik pelancaran media sosial BSK Negeri Johor serta penyampaian bantuan dana dan bakul makanan kepada 128 penerima di Hotel Trove, Johor Bahru.

 

Turut hadir ialah YAA Dato’ Haji Mohd Amran Mat Zain, Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia dan YB YAA Dato’ Haji Muhammad Khaldun Mohamad Sharif, Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Johor.

 

#MAINJ
#JKSM
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor