AMBIL BAHAGIAN BERSAMA BANGUNKAN EKONOMI JOHOR


Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 dan Pelantikan Ahli Lembaga Persatuan Usahawan Dato’-Dato’ Malaysia (MDEA) | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

Golongan usahawan diseru mengambil bahagian dan bersedia merebut peluang daripada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang mampu menjadi lonjakan dan katalis kepada pembangunan serta pertumbuhan ekonomi Negeri Johor pada masa akan datang.

 

Selain menyumbang kepada negeri, usahawan menerusi persatuan masing-masing digalakkan memainkan peranan terhadap pembangunan keusahawanan khusus memperkasa usahawan muda untuk berdaya maju dan berjaya dalam bidang perniagaan diceburi.

 

Saranan berkenaan dibuat YB Mohd Hairi Mad Shah, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-10 dan Pelantikan Ahli Lembaga Persatuan Usahawan Dato’-Dato’ Malaysia (MDEA), semalam.

 

Pada majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu terdiri pelbagai latar belakang itu turut berlangsung penyerahan ‘mock cheque’ sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Yayasan Sultanah Rogayah (YSR) untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan.

 

MDEA merupakan persatuan usahawan peringkat kebangsaan terletak di Johor Bahru terdiri dalam kalangan usahawan berjaya yang bersedia membantu usahawan muda melalui sokongan motivasi, panduan, sumber rangkaian dan jalan kepada insentif kerajaan.

 

Hadir sama, YBhg. Dato’ Abdul Rashid Kasman, wakil rasmi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara; YBhg. Dato’ Sri Jacky Ker Cherk Yee, Presiden MDEA; YB Dato’ R. Sugumaran, Pengerusi Yayasan Sultanah Rogayah; YBhg. Mohamad Rizali Noor, wakil Konsulat Jenderal Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru serta YBhg. Ng Kuan Khai, wakil Konsulat Jeneral Republik Singapura di Johor Bahru.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor