ANAK JOHOR DINOBAT IKON BAHASA MELAYU NEGARA
#IskandarPuteri – Lim San Shien, Duta Perpaduan Johor melakar satu lagi sejarah apabila dinobatkan sebagai Ikon Bahasa Melayu Negara oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Majlis Apresiasi Anugerah Citra DBP yang berlangsung baru-baru ini.
San Shien, 24, aktivis pemimpin belia dipilih sebagai ikon bahasa selepas beliau berjaya menunjukkan kecemerlangan yang menakjubkan dalam bidang bahasa, kepimpinan dan program ilmiah yang dilakukannya secara konsisten dalam mengangkat martabat bahasa, merancakkan perkembangan sastera serta mempromosi budaya ilmu.
Anak jati Johor itu berasa gembira dan bersyukur kerana selain turut menghadiahkan pengiktirafan ini kepada ibunya yang juga merupakan guru Bahasa Melayu, ia sebenarnya secara tidak langsung mempengaruhi minat dan kecenderungan San Shien terhadap Bahasa Kebangsaan.
Pengiktirafan tersebut melonjak semangat San Shien untuk lebih proaktif dalam menampilkan kesantunan dan keindahan Bahasa Melayu yang puitis, sekali gus menjadi pemangkin kepada semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat yang berbilang kaum di negara ini.
Selain itu, pencapaian karier San Shien itu membolehkan beliau sering diundang menjadi moderator pada sesi forum bersama dengan pelbagai tokoh serta pemimpin peringkat negeri dan negara, selain turut menjadi rujukan media bagi mendapatkan pandangan terhadap sesuatu isu melibatkan belia, pendidikan dan perpaduan.
Graduan Universiti Malaya (UM) ini pernah menempa nama sebagai Siswa Terbaik (Kepimpinan) Kerajaan Negeri menerusi Anugerah Ikon Siswa Johor, selain turut dinobat sebagai Pendebat Terbaik Liga Piala Debat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UM, serta juara Piala Simulasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor