ANAK MUDA JOHOR PERLU SENTIASA JADI PENERAJU


Sesi utama audio siar bersama DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor di program Johor Youth Meetup by OMJ yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

“Saya nak tengok anak-anak Johor tidak mudah terpengaruh. Apa-apa situasi berlaku, mereka boleh fikir dengan rasional, apa yang baik dan tidak baik untuk negeri Johor. Disini kita boleh lihat bahawa pendidikan amat penting untuk anak muda Johor.” – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

Bukan sekali dua tetapi sudah agak kerap kita semua mendengar dan mengambil maklum, DYAM Tunku Mahkota Ismail sentiasa berbicara tentang hal pendidikan. Ini kerana ia adalah antara kerisauan Baginda terhadap apa yang berlaku di kalangan anak muda Johor masa kini dan tidak menghairankan isu pendidikan sekali lagi mejadi fokus utama pada sesi utama audio siar di program Johor Youth Meetup by OMJ yang berlangsung di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri.

 

DYAM Tunku Mahkota Ismail menyatakan bahawa tumpuan utama Baginda selaku Pemangku Sultan Johor adalah untuk meningkatkan silibus pendidikan di Negeri Johor, selain turut berkongsi bahawa Kerajaan Negeri sedang bekerjasama dengan Kerajaan Republik Singapura untuk merangka beberapa siri program kerjasama pendidikan yang dilaksanakan demi kebaikan anak-anak Johor.

 

Sudah menjadi hasrat Baginda Tunku sejak sekian lama yang mengimpikan semua anak muda Johor tanpa mengira latar belakang dan status akan mendapat akses pendidikan yang sepatutnya. Langkah ini amat penting kerana Baginda juga berharap agar satu hari nanti, anak-anak muda Johor bukan sahaja dapat berkhidmat tetapi mampu menyumbang semula kepada negeri dalam pelbagai bidang dan apa jua lapangan.

 

Selain itu, DYAM Tunku Mahkota Ismail turut berpesan kepada anak-anak muda Johor supaya sentiasa mengekalkan sikap profesionalisme kerana Johor adalah peneraju dalam segala pelbagai aspek, selain perlu bijak dalam menghindari sentimen yang dimainkan pihak politik luar yang sebenarnya tidak ada kena mengena dengan konteks situasi di Johor.

 

“Fikirkan kepentingan anda dan Negeri Johor. Jangan layan benda negatif. Jangan layan propaganda. Johor ni lain. Mentaliti ini mesti ada pada setiap anak Johor” – DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor.

 

#TheTMJeffect
#JohorYouthMeetup
#OrangMudaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor