20,000 ORANG MUDA JOHOR BANJIRI EDUCITY!


Suasana di sekitar program Johor Youth Meetup by OMJ di Kompleks Sukan Educity, Iskandar Puteri. | Foto MDJ Wira Anggara

 

Kira-kira 20,000 Orang Muda Johor (OMJ) dari seluruh Johor membanjiri Kompleks Sukan Educity bagi memeriahkan Program ‘Johor Youth Meetup by OMJ’, sekali gus memberi isyarat bahawa generasi muda sentiasa bersama dalam menyokong dan menyahut inisiatif dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

 

Mohammad Aliff Dato’ A. Rahim, Pemangku Presiden Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) menyifatkan penganjuran program berkenaan sebagai komitmen berterusan Kerajaan Negeri dalam mendengar keperluan, kehendak, aspirasi dan suara golongan belia menerusi program dilihat mampu mendekati kumpulan berkenaan secara menyeluruh.

 

MBNJ selaku badan induk penyelaras pertubuhan belia di negeri ini akan terus memastikan golongan muda di Johor tidak sesekali terpengaruh dengan anasir anti-monarki dan sentiasa berdiri teguh di belakang DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor yang turut menaungi segala aktiviti belia di bumi Johor Darul Ta’zim.

 

Malah, MBNJ akan sentiasa bergerak seiringan bersama Kerajaan Negeri dalam membawa orang muda Johor mara ke hadapan, seiring dengan cabaran semasa serta sentiasa memainkan peranan selaku tonggak dalam mendokong pembangunan dan kemajuan negeri menjelang tahun 2030.

 

Program Johor Youth Meetup by OMJ ini menampilkan pelbagai pengisian menarik antaranya pertandingan futsal, bola jaring dan e-sports, pameran permotoran, sesi perkongsian oleh ikon Johor dan persembahan artis tempatan.

 

Lebih istimewa, DYAM Tunku Mahkota Ismail turut berkenan berangkat menyertai sesi podcast yang dibawakan secara langsung bagi menjawab pelbagai soalan yang diajukan oleh orang muda Johor serta turut meluangkan masa beramah mesra bersama rakyat.

 

Hadir sama, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor; YB Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani, Setiausaha Kerajaan Johor; Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dan Pegawai Tadbir Kanan Negeri Johor.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor