AROMA AYAM PASU KLASIK JOHOR GAMIT SELERA RAMADAN

Muhammad Izzul Fahmi, 31 mengusahakan sajian Ayam Pasu Klasik Johor yang diwarisi daripada arwah bapanya sejak tahun 2017. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Setiap kali menjelang bulan puasa sudah pasti deretan bazar Ramadan akan dipenuhi dengan pelbagai sajian yang pastinya membangkitkan selera terutama beriftar bersama keluarga mahupun rakan taulan.

 

Antara sajian yang mencuri tumpuan kali ini ialah keenakan aroma Ayam Pasu Klasik Johor. Uniknya, ayam ini menggunakan pasu sebagai ruangan tempat bakar yang secara tidak langsung menjadikan rasa perapan ayam lebih beraroma, tekstur ayam yang lembut ditambah pula dengan kebaikan rempah-ratus terpilih.

 

Lebih memikat rasa adalah apabila ayam ini dinikmati bersama sos istimewa yang diadun menggunakan resepi buatan sendiri, sekali gus menjadikan rasa ayam ini agak berbeza dengan variasi ayam pasu yang lain.

 

Kebiasaannya, kesemua ayam ini akan diperap semalaman dengan menggunakan rempah-ratus terpilih, sebelum ia dipanggang dalam pasu yang mengambil tempoh masa kira-kira satu jam.

 

Bagi Muhammad Izzul Fahmi, 31, memberitahu resepi tersebut diwarisi daripada arwah bapanya dan beliau telah mempelajari cara masakan ayam pasu berkenaan termasuk dari segi ramuan dan teknik memanggang sejak 2017.

 

Selain membuka gerai di Bazar Ramadan Taman Air Biru, Pasir Gudang, beliau juga memiliki sebuah kopitiam iaitu De’Stesen Cafe yang terletak di Taman Rinting dan di situ juga pelanggan boleh mendapatkan atau menikmati terus Ayam Pasu Klasik Johor pada bila-bila masa.

 

Pada hari biasa, sebanyak 60 ekor ayam dipanggang manakala pada hujung minggu jumlahnya meningkat kepada kira-kira 100 ekor termasuk ketika sambutan Ramadan kali ini yang dijual pada tanda harga RM35 seekor dan RM18 untuk separuh ekor ayam.

 

Pemilik Ayam Pasu Klasik Johor ini juga berhasrat untuk meluaskan perniagaan ini dengan menghasilkan produk ayam pasu sejuk beku sekiranya berpeluang memiliki kilang sendiri pada masa akan datang serta merancang untuk membuka gerai di Bazar Ramadan Plaza Angsana pada tahun hadapan.

 

#JohorSafeZone
#BazarRamadan
#AyamPasuKlasikJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor