BANGLO ‘DICONTENG’ JADI TARIKAN SENI DI KLUANG


Rumah Seni Kluang yang diasaskan oleh Zulkifli Dahlan.

 

Dahulunya pernah menghiasi majalah Gila-Gila dan Ujang, namun kini telah beralih arah menghasilkan lukisan mural tiga dan empat dimensi (3D dan 4D) yang menjadi daya tarikan pelancong di daerah Kluang.

 

Biarpun pernah diherdik semasa zaman persekolahan, Zulkifli Dahlan, 57, tidak pernah terfikir hasil karya lukisan menggunakan cat air dan cat mural sebelum disempurnakan dengan lekar di sebuah rumah banglo ‘tinggal’ kini menjadi tumpuan hampir 2,000 pelancong tempatan dan luar negara.

 

Rumah Seni Kluang yang diasaskan oleh Zulkifli telah ‘diconteng’ bersama rakan-rakannya selama empat bulan pada tahun 2020 sebelum beliau membuat keputusan untuk membuka pintu kepada orang ramai selepas berkeyakinan karya dihasilkan mampu menjadi daya tarikan pelancong.

 

Nyata keyakinan Zulkifli dan pasukan tidak meleset apabila hasil seni ilusi dan optik mereka diiktiraf Majlis Perbandaran Kluang (MPK) yang menjadikan Rumah Seni Kluang sebagai antara produk pelancongan di daerah berkenaan pada Februari tahun lalu.

 

Antara karya lukisan yang menjadi tumpuan pengunjung ialah potret manis DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, landasan kereta api Kluang dan lukisan Kampung Palembang yang menjadi antara perkampungan terawal dibuka di daerah ini.

 

Lebih manis, Zulkifli yang juga merupakan antara watak utama menghasilkan karya di Laman Kreatif Kluang pada tahun 2015 telah membantu MPK memenangi anugerah antarabangsa menerusi pingat emas Green Apple Award di London pada 2017 sekali gus mengangkat karya seni anak tempatan.

 

Pelukis kelahiran Segamat itu turut berbangga apabila cetusan idea YB Dato’ Ismail Abu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pengurusan) mantan Yang Dipertua MPK pada 2015 itu masih lagi menjadi tumpuan pelancong terutama dari luar daerah Kluang.

 

Malah, sokongan diberikan Kerajaan Negeri menerusi MPK serta pujian daripada beberapa pakar seni memberi Zulkifli suntikan semangat untuk terus berkarya selain memasang impian agar YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor dapat merasmikan Rumah Seni Kluang.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor