BANGUNAN TERBIAR HSA AKAN KEMBALI DIBUKA ATASI KESESAKAN POLIKLINIK


Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi melakukan tinjauan di sebuah bangunan terbiar dalam Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB). | Foto ihsan Facebook Onn Hafiz Ghazi

 

ISKANDAR PUTERI — Sebuah bangunan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang sudah terbiar lebih 20 tahun akan dibuka kembali untuk atasi kesesakan di kawasan poliklinik hospital berkenaan.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pembukaan semula bangunan berkenaan dengan bantuan Kerajaan Negeri dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

 

“Usaha ini penting bagi membantu mengurangkan kesesakan di kawasan poliklinik HSA dan memberi keselesaan kepada petugas-petugas di HSA,” kata beliau dalam Facebook rasminya, pada Isnin.

 

Onn Hafiz berkata, beberapa cadangan juga dikemukakan dan dipersetujui agar bangunan yang terbiar itu digunakan.

 

“Antaranya adalah pertama, bahagian unit pentadbiran akan dipindahkan ke bangunan ‘Sister Mess’. Kedua, ruang bahagian pentadbiran sedia ada akan dinaiktaraf menjadi Klinik Kardiotorasik dan Klinik Pembedahan Plastik.

 

“Ketiga, bilik ekokardiogram atau lebih dikenali sebagai echo akan diletakkan sekali dengan Klinik Kardiotorasik yang baru bagi memudahkan pesakit menjalani rawatan. Semoga dipermudahkan segala urusan,” katanya.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor