LIMA LOKASI DIKENAL PASTI PUNCA KESESAKAN DI JOHOR BAHRU


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, mengadakan tinjauan di Lebuhraya EDL, di sini, pada Ahad. | Foto MDJ, Liyana Iwana.

 

Oleh: Siti Inarah Izazi Abd Mutalib

 

JOHOR BAHRU –– Lima lokasi dikenal pasti menjadi punca utama kesesakan lalu lintas di sekitar bandar raya Johor Bahru terutama ketika waktu puncak.

 

Kesemua lokasi itu adalah jalan sekitar Stulang Laut, Jalan Lingkaran Dalam, Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Timur (EDL), Jalan Ibrahim Sultan dan Jalan Bukit Chagar.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Negeri Johor, Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kesesakan di lokasi terbabit berlaku khusus melibatkan mereka yang ingin ke Singapura.

 

Menurutnya, Kerajaan Negeri sudah meminta jasa baik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melihat punca kesesakan dan beberapa faktor dikenal pasti.

 

“Kita sediakan pelan jangka masa pendek antaranya kawalan trafik oleh pihak polis, penutupan jalan mengikut waktu-waktu tertentu dan ada juga projek-projek jangka masa panjang.

 

“Antaranya Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura, perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan beberapa projek daripada Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA),” katanya ketika ditemui media selepas mengadakan tinjauan di Lebuhraya EDL, di sini, pada Ahad.

 

Mohamad Fazli berkata, kesesakan juga berlaku disebabkan kerja pembinaan RTS, ETS serta projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru di sepanjang Jalan Tebrau ke Jalan Tun Razak.

 

“Kita juga ada mendapatkan pandangan daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) dan meminta mereka untuk mengeluarkan satu kajian ‘traffic impact assessment’ untuk melihat tindakan selanjutnya yang boleh dibuat khususnya dari segi struktur jalan-jalan yang ada di sekitar kawasan ini.

 

“Kawasan ini mempunyai hampir 100,000 pengguna jalan raya pada satu masa ketika waktu puncak terutamanya daripada waktu petang ke malam dan pada waktu-waktu kritikal, kadang-kadang sampai jam 3 ke 4 pagi,” ujarnya.

 

Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan status kemajuan kerja bagi projek RTS telah mencapai 41 peratus setakat 30 Jun lalu dan berjalan mengikut jadual seperti ditetapkan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor