BANJIR DI DAERAH TANGKAK PULIH


Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) iaitu SK Kahang Batu 28 dan Balairaya Kampung Durian Chondong ditutup hari ini | Sumber gambar Facebook Apm Kluang.

 

ISKANDAR PUTERI — Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Tangkak menempatkan 15 orang daripada tiga keluarga dari Kampung Pengkalan Kota yang terjejas akibat banjir ditutup, hari ini.

 

Balairaya Kampung Durian Chondong yang merupakan satu-satunya PPS dibuka di daerah tersebut, ditutup pada jam 12 tengah hari tadi, sekali gus menyaksikan situasi banjir di Tangkak pulih.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, setakat jam 12 tengah hari, jumlah terkini mangsa banjir di negeri ini, menurun kepada 2,683 orang daripada 758 keluarga.

 

Menurutnya, ia berbeza dengan 2,807 orang daripada 774 keluarga yang direkodkan jam 8 pagi tadi.

 

“Setakat tengah hari ini, jumlah daerah yang terjejas adalah lima iaitu Kota Tinggi, Kluang, Segamat, Mersing dan Batu Pahat berbanding sebelum ini enam melibatkan daerah Tangkak.

 

“Dari sudut PPS pula, jumlah terkini adalah 29 PPS berbanding sebelum ini 31 PPS. Dua PPS telah ditutup iaitu di Tangkak dan satu lagi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kahang Batu 28 di Kluang yang menempatkan mangsa banjir dari Kampung Sri Lukut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Kota Tinggi mencatatkan sembilan PPS yang masih beroperasi diikuti Batu Pahat (lapan), Mersing (enam), Segamat (empat) dan Kluang (dua).

 

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia setakat jam 1.30 petang, mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap Waspada di Mersing dan Kota Tinggi sehingga 1 Februari ini.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor