ENAM LAGI PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA DITUTUP


Enam pusat pemindahan sementara ditutup menjadikan hanya 23 PPS masih beroperasi di empat daerah yang terjejas | Sumber gambar Facebook APM Kluang.

 

ISKANDAR PUTERI — Enam lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup setakat jam 4 petang, melibatkan daerah Kluang dan Kota Tinggi.

 

Kesemua PPS yang ditutup itu adalah Dewan Pusat Banjir JAKOA dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kahang di Kluang serta Sekolah Kebangsaan (SK) Semangar, SK Tun Dr. Syed Nasir, SK Sungai Telur dan Sekolah Agama Desa Mahkota di Kota Tinggi.

 

Penutupan berkenaan menjadikan keseluruhan PPS yang telah ditutup setakat hari ini, berjumlah lapan PPS selepas dua PPS iaitu SK Kahang Batu 28 di Kluang dan Balairaya Kampung Durian Chondong di Tangkak, ditutup tengah hari tadi.

 

Setiausaha Kerajaan Johor, Tan Sri Dato’ Dr. Azmi Rohani berkata, penutupan dua PPS di Kluang menyaksikan situasi banjir di daerah tersebut kian pulih.

 

“Terkini, hanya empat daerah iaitu Segamat, Mersing, Kota Tinggi dan Batu Pahat masih dilanda banjir.

 

“Jumlah mangsa juga menunjukkan trend penurunan iaitu daripada 2,683 orang daripada 758 keluarga jam 12 tengah hari tadi, kepada 2,157 orang daripada 607 keluarga jam 4 petang ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

 

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, penutupan enam PPS terbabit juga menjadikan keseluruhan 23 PPS masih beroperasi di empat daerah bagi menempatkan mangsa banjir.

 

“Batu Pahat dengan jumlah PPS paling banyak iaitu lapan yang dibuka diikuti Mersing (enam), Kota Tinggi (lima) dan Segamat (empat).

 

Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan amaran hujan berterusan pada tahap Waspada bagi dua daerah iaitu Mersing dan Kota Tinggi sehingga 1 Februari ini.

 

Selain itu, sub-lembangan Sungai Endau merekodkan aras air sungai semasa di tahap Bahaya, manakala Sungai Muar di Buloh Kasap, Sungai Bekok dan Sungai Sembrong di Empangan Sembrong di tahap Amaran.

 

Berhubung jalan terputus hubungan, Jalan Tanah Abang / Selekoh Pertama Tanah Abang (J228) di Mersing dan Jalan Sungai Tiram-Ulu Tebrau di Kulai (J08) masih ditutup untuk semua kenderaan.

 

Manakala Jalan Belukar Juling (J75) dan Jalan Endau Penyabong (J182) di Mersing dan Jalan Mawai Lama (J172) di Kota Tinggi hanya dibuka kepada kenderaan berat.

 

Bagi Jalan Kahang Barat (J94) di Kluang yang berlakunya cerun runtuh dibuka kepada kenderaan berat dan ringan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor