BANTUAN PERUMAHAN KASIH JOHOR FASA LIMA KEMBALI OGOS INI

Bantuan Perumahan Kasih Johor Fasa Lima akan mula disalurkan secara berfasa bermula pertengahan Ogos ini sebagai kesinambungan komitmen Kerajaan Johor untuk membantu lebih ramai Bangsa Johor memiliki kediaman yang selamat dan selesa. | Foto arkib MDJ

 

#IskandarPuteri – Bantuan Perumahan Kasih Johor Fasa Lima akan kembali disalurkan bermula pada pertengahan Ogos ini sebagai kesinambungan komitmen Kerajaan Johor dalam membantu lebih ramai Bangsa Johor memiliki dan mendiami kediaman yang lebih selamat serta selesa.

 

Pelaksanaan bantuan itu akan diteruskan secara berfasa bagi memastikan lebih ramai Bangsa Johor menerima manfaat daripada inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri, jelas YB Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor.

 

Bantuan itu dijangka bakal memanfaatkan penerima melibatkan tiga kategori bantuan utama iaitu Bantuan Beli Rumah Pertama sebanyak RM5,000; Bantuan Masuk Rumah Pertama (RM2,000) dan Bantuan Sewa Rumah (RM2,500).

 

Sehingga Jun lalu, sebanyak empat fasa Bantuan Perumahan Kasih Johor telah dilaksanakan dengan seramai 9,126 penerima telah berjaya menerima manfaat menerusi bantuan berkenaan yang turut menerima peruntukan sebanyak RM37.7 juta.

 

Pada masa sama, inisiatif perumahan lain juga akan terus diperkasakan termasuk sasaran pembinaan 100,000 Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) menjelang tahun 2030 dengan sebanyak 30,000 unit dijangka siap menjelang suku keempat tahun ini.

 

Turut diteruskan ialah pelaksanaan Perumahan Kasih Johor (PKJ), pembinaan Rumah Transit Bangsa Johor (RTBJ) bagi golongan belia berusia bawah 35 tahun, selain penyediaan rumah percuma kepada golongan yang layak mengikut syarat yang telah ditetapkan.

 

Menurutnya, setiap manifesto di bawah portfolio Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan dipantau menerusi indeks petunjuk prestasi utama (KPI) yang akan disemak setiap tiga hingga enam bulan bagi memastikan semua inisiatif terbabit dapat dilaksanakan mengikut perancangan.

 

Beliau turut memberi jaminan bahawa segala komitmen yang telah dijanjikan kepada rakyat akan diteruskan secara berfasa selaras dengan agenda pembangunan Kerajaan Johor bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati lebih ramai Bangsa Johor.

 

#JohorSafeZone
#BantuanPerumahan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor