BEKALAN AIR BERJADUAL DI KLUANG DAN PONTIAN, STABILKAN OPERASI LRA

Pelaksanaan BAB merupakan langkah pengurusan sementara bagi memastikan agihan bekalan air yang lebih adil dan mencukupi sepanjang tempoh kemarau, selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara. | Foto Ranhill SAJ

 

#IskandarPuteri – Operator air Johor, Ranhill SAJ Sdn. Bhd (Ranhill SAJ) akan meneruskan Bekalan Air Berjadual (BAB) di daerah Kluang dan Pontian dengan jadual baharu bermula esok hingga 28 Februari ini, susulan paras tadahan Empangan Machap yang menunjukkan trend penurunan dan kini berada pada tahap pemantauan rapi.

 

Sepanjang tempoh tersebut, agihan bekalan air akan dilaksanakan secara berjadual melibatkan 24 jam bekalan air diikuti 48 jam tanpa bekalan. Ia akan dibuat mengikut pembahagian zon dan ketetapan yang telah ditentukan bagi memastikan pengurusan sumber air mentah dapat dilaksanakan secara terkawal.

 

Penjadualan ini juga bertujuan untuk menstabilkan operasi loji rawatan air (LRA) yang kini berada dalam keadaan kapasiti terhad, sekali gus memastikan bekalan air dapat diagihkan secara lebih seimbang kepada semua kawasan yang terjejas.

 

LRA Simpang Renggam terus beroperasi dan membekalkan air terawat kepada pengguna, namun kadar pengeluaran turut diselaraskan bagi menjamin kesinambungan bekalan secara menyeluruh dan mampan.

 

Pelaksanaan BAB merupakan langkah pengurusan sementara bagi memastikan agihan bekalan air yang lebih adil dan mencukupi sepanjang tempoh kemarau, selaras dengan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

 

Sebagai langkah sokongan, bekalan air alternatif melalui lori tangki, tangki statik dan air mineral kini terus digerakkan mengikut keperluan di lokasi strategik, manakala pemantauan situasi semasa dilaksanakan secara berterusan dengan maklumat terkini disalurkan dari semasa ke semasa.

 

Orang ramai juga dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah, mengelakkan pembaziran serta menyimpan bekalan secukupnya bagi kegunaan asas sepanjang tempoh penjadualan ini berlangsung.

 

Terdahulu, BAB telah dilaksanakan bermula 7 Februari lalu melibatkan penjadualan 36 jam bekalan air diikuti 36 jam tanpa bekalan sebelum jadual baharu terkini diperkenalkan bagi menyesuaikan pengurusan sumber air semasa.

 

#JohorSafeZone
#BekalanAirBerjadual
#CuacaPanas
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor