BERLAYAR DARI AUSTRALIA, 1,000 LEMBU TENUSU A2 TIBA DI JOHOR

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor meninjau proses ketibaan lembu tenusu dari Australia di Johor Port, Pasir Gudang. | Foto MDJ Nurina Aisyah

 

#JohorBahru – Ketibaan 1,000 ekor lembu tenusu dari Australia di Johor Port, dekat Pasir Gudang untuk dihantar ke Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) di Mersing, menandakan detik penting bermulanya industri tenusu berskala besar negara di Negeri Johor.

 

Lembu tenusu A2 baka ‘Jersey Friesian’ terkenal dengan pengeluaran susu berkualiti tinggi yang menjadi pilihan ideal dalam usaha membangunkan industri tenusu tempatan bertaraf antarabangsa itu tiba selepas menempuh perjalanan melalui laut selama 14 hari dari Pelabuhan Victoria.

 

Kesemua haiwan ternakan tersebut akan dikuarantin dua minggu terlebih dahulu untuk memastikan tahap kesihatan dan penyesuaian optimum di mana sebahagiannya yang bunting dijangka mula menghasilkan susu pada Januari 2026 seterusnya mencapai pengeluaran maksimum pada Mac dengan sasaran awal tiga juta liter bagi tahun pertama.

 

Apabila beroperasi sepenuhnya, JDV bakal meningkatkan bekalan susu segar negara sebanyak 20 peratus juga dengan sasaran pengeluaran 12 juta liter dalam tempoh lima tahun sekali gus membuka peluang pekerjaan dan perniagaan bernilai tinggi khususnya kepada penduduk di Mersing.

 

Projek JDV yang diserahkan kepada Jemaluang Dairy Valley Sdn. Bhd. pada 18 September lalu, merupakan hab tenusu bersepadu moden pertama di negeri ini, hasil usahasama strategik antara Kerajaan Negeri, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan sektor swasta.

 

Inisiatif strategik berkenaan turut akan menjadikan Mersing sebagai hab pengeluaran susu segar dan bakal membuka ruang kepada penternak tempatan menghantar hasil tenusu mereka untuk meraih pulangan besar selain menjadi daya tarikan destinasi agropelancongan sempena Tahun Melawat Johor 2026.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor bersama YBhg. Tuan Haji Jamil Hasni Abdullah, Pegawai Daerah Mersing meninjau proses ketibaan lembu tenusu dari Australia di Johor Port, Pasir Gudang, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#JemaluangDairyValley
#LembahTenusuJohor
#KeterjaminanMakanan
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor