BEZA PENDAPAT, PRINSIP JANGAN SAMPAI GANGGU KEHARMONIAN


Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid berucap pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP). | Foto Ihsan Facebook Mohd Fared Mohd Khalid

 

ISKANDAR PUTERI — Persaudaraan terbina antara kaum Muhajirin dan Ansar dalam peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari Kota Mekah ke Kota Madinah membawa teladan kepada umat manusia masa kini.

 

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, peristiwa berkenaan secara tidak langsung memberi mesej sangat penting untuk rakyat negeri ini, agar mengekalkan perpaduan sedia ada demi kesinambungan dan pembangunan Johor.

 

“Ia bertepatan dengan tema sambutan Maal Hijrah kali ini ‘Perpaduan Teras Maju Johor’. Justeru sikap saling menghormati dan bertolak ansur perlu dipupuk dalam kalangan ahli keluarga dan masyarakat agar permuafakatan dapat dibina.

 

“Sememangnya kita tidak dapat menafikan adanya perbezaan dari segi pendapat dan prinsip diri, namun jangan sampai ia mengganggu keharmonian. Ia bukanlah alasan untuk kita saling bertelagah dan ia hanya akan merugikan kita sahaja,” katanya.

 

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Johor di Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP), di sini, pada Rabu.

 

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khalid selaku wakil rasminya.

 

Turut hadir, Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Dato’ Amir Nasruddin; Pegawai Kewangan Negeri Johor, Dato’ Salehuddin Hassan; Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor, Jamaludin A Hamid; Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan), Dato’ On Jabbar serta Datuk Bandar MBIP, Dato’ Mohd Haffiz Ahmad.

 

Onn Hafiz berkata, rakyat Johor diseru untuk mencontohi akhlak kaum Muhajirin dan Ansar selain mengingatkan agar sambutan Maal Hijrah memberikan peringatan akan peri penting untuk melakukan perubahan ke arah lebih positif.

 

“Pencapaian kualiti dari keadaan yang kurang baik kepada yang lebih baik, mampu melancarkan lagi proses pembangunan di negeri dan negara ini. Ia merupakan tuntutan yang perlu dititik beratkan dan diberi perhatian oleh semua.

 

“Adalah amat signifikan untuk menggambarkan bahawa sesuatu kejayaan memerlukan perubahan dan kesungguhan serta menjadi perkara yang akan dipertanggungjawabkan,” katanya.

 

Beliau berkata, setiap masyarkat perlu memainkan peranan untuk membawa kebaikan dan perubahan dalam lapangan hidup meskipun bermula dengan perkara yang kecil.

 

“Dalam menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan persaingan di peringkat global pada hari ini, kita perlu memperkasakan diri dengan memperkukuhkan kesatuan dan kerjasama sesama kita. Usahlah bersengketa sesama kita dan janganlah berpecah belah.

 

“Marilah kita beriltizam untuk membangunkan negeri ini, dengan penuh rasa tanggungjawab dan penuh semangat. kita sentiasa perlu mengurus perubahan dengan baik dan perlu sentiasa bersedia mmeperbaiki kelemahan. Mudah-mudahan usaha ini akan mendapat rahmat Allah SWT,” katanya.

 

Bekas Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Muar, Shakirin Omar, 72, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Maah Hijrah 1445H Peringkat Negeri Johor sekali gus membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta sijil penghargaan, hadiah iringan.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor