BUKAN BIDANG KUASA KERAJAAN NEGERI, TAPI KITA IKHTIAR BERSAMA : EXCO PERUMAHAN JOHOR


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor mengetuai tinjauan ke tapak Projek Sakit Taman Koperasi Nelayan, Mersing. | Foto ihsan Facebook Mohd Jafni Md Shukor

 

ISKANDAR PUTERI — Kerajaan Negeri di bawah tadbir urus Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus berusaha dan berikhtiar untuk menyelesaikan isu perumahan projek sakit di negeri ini.

 

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor, Dato’ Mohd Jafni Md Shukor, berkata Kerajaan Negeri akan berusaha sehabis baik dalam membantu menyelesaikan isu itu demi menjaga kebajikan rakyat Johor.

 

“Kerajaan Negeri akan berusaha sehabis baik membantu menyelesaikan isu perumahan projek sakit dan terbengkalai di Negeri Johor.

 

“Walaupun ada projek yang bukan di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri, tetapi segala ikhtiar di luar kotak pasti akan dilaksanakan bersama semua agensi Kerajaan Pusat dan Negeri demi Bangsa Johor,” katanya di laman Facebook rasminya, hari ini.

 

Terdahulu, Mohd Jafni mengadakan tinjauan ke tapak Projek Sakit Taman Koperasi Nelayan, Mersing yang berkeluasan tapak seluas 4.49 hektar.

 

Projek dikelola oleh Pemaju Ophir Heights Sdn Bhd telah diluluskan sejak 26 Februari 2005 dan menjanjikan pembinaan 137 unit rumah pelbagai jenis termasuk beberapa unit kedai.

 

Kemajuan projek ini telah berada di fasa terakhir untuk mendapat Sijil Siap dan Pematuhan (CCC) dan di peringkat penyelesaian serta kerja akhir dalam aspek utiliti seperti Syarikat Air Johor (SAJ) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB).

 

Turut hadir ke lawatan tersebut ialah Ketua Pegawai Pembangunan Perbadanan Kemajuan Perumahan Negeri Johor (PKPJ), Dr. Mohd Shahrizan Sahid dan Yang DiPertua Majlis Daerah Mersing (MDM), Mohd Norman Noh.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor