JDT LANCAR JDT FAN TOKEN DI SOCIOS.COM 5 JULAI INI


Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan JDT Fan Token rasmi di aplikasi penglibatan dan ganjaran Socios.com pada 5 Julai ini. | FOTO IHSAN, JOHOR Southern Tigers

 

ISKANDAR PUTERI — Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) melancarkan JDT Fan Token rasmi di aplikasi penglibatan dan ganjaran Socios.com pada 5 Julai ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif JDT, Alistair Edwards berkata, JDT Fan Token akan membolehkan kelab berada lebih dekat dengan penyokong berbanding sebelum ini.

 

Menurutnya, penyokong juga diberikan ganjaran atas kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi menerusi JDT Fan Token itu.

 

“Kami gembira dengan pelancaran ini, serta teruja dengan pelbagai peluang yang akan dibawa oleh aplikasi ini kepada kelab dan penyokong kami.

 

“Kami juga berbangga berada bersama beberapa kelab besar di dunia sebagai sebahagian daripada senarai rakan kongsi global Socios.com,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Chiliz dan Socios.com, Alexandre Dreyfus berkata, pihaknya teruja melancarkan JDT Fan Token yang akan memberi penyokong Harimau Selatan di seluruh dunia cara baharu dan menarik untuk berada lebih dekat dengan kelab.

 

“Kami bekerjasama rapat dengan Kelab bagi memberikan makna ‘Fan Polls’ serta pengalaman dan ganjaran yang menarik.

 

“Saya menggalakkan semua penyokong JDT untuk memuat turun aplikasi Socios.com dengan segera dan bersiap sedia untuk pelancaran supaya mereka tidak terlepas peluang ini,” katanya.

 

Sebanyak 50,000 JDT Fan Token akan tersedia menerusi ‘Fan Token Offering’ bermula jam 6 petang waktu tempatan dengan pembelian dihadkan kepada 100 JDT Fan Tokens dalam tempoh 24 jam pertama.

 

JDT Fan Token akan menyediakan platform baharu untuk penyokong Harimau Selatan di seluruh dunia berhubung dan terlibat dengan pasukan melalui aplikasi Socios.com.

 

Ia sekali gus membolehkan penyokong mengambil bahagian menyertai keputusan melibatkan pasukan serta akses kepada ganjaran eksklusif.

 

Manfaat menjadi pemegang JDT Fan Token berkembang melangkaui aplikasi Socios.com malah akan menerima diskaun dan promosi istimewa.

 

#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor