CABARAN BARU JDT DI LIGA JUARA-JUARA ASIA ELIT


AFC Champions League Elite | Foto JOHOR Southern Tigers

 

Selepas memulakan penggal kedua bagi dekad baharu dengan mendakap Piala Sumbangsih dan merangkul kejuaraan Piala FA 2024, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) kini bersedia untuk menghadapi lawan yang lebih mencabar dan berprestij apabila bakal memulakan aksi dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 pada 18 September ini.

 

Turun dengan reputasi lebih memberangsangkan dengan penguasaan dalam sukan bola sepak apabila berada di kedudukan ke-279 dunia, kedudukan kelapan di Asia dan pertama di Asia Tenggara berdasarkan data yang dikeluarkan oleh laman Opta Power Ranking pada 28 Ogos lalu, skuad Harimau Selatan dilihat lebih bersedia untuk memberi tentangan kepada pihak lawan.

 

Selaku, wakil tunggal dari Liga Super Malaysia yang akan beraksi pada pentas ACLE 2024/25, sudah tentu pasukan yang berpangkalan di selatan tanah air akan mencetuskan fenomena luar biasa yang jarang dapat disaksikan oleh peminat sukan bola sepak negara, selain ia juga dijangka akan memberi situasi berbeza seperti sebelum ini kerana format liga ACLE dibahagikan kepada bahagian Timur dan Barat yang melibatkan 12 pasukan terbaik di benua Asia.

 

Lebih unik, setiap pasukan yang ‘terpilih dan terbaik antara terbaik’ ini bakal berdepan dengan lapan lawan yang berbeza. Saingan kali ini juga turut melibatkan empat daripadanya diadakan di gelanggang sendiri, sementara baki empat lawan seterusnya akan berlangsung di gelanggang lawan dengan debaran akan dapat dirasai mulai September ini hingga Februari 2025.

 

Juara quadruple tahun lalu ini juga bakal memulakan kempen liga ACLE pada 18 September ini bertemu pasukan Shanghai Port di Stadium Bola Sepak Pudong, China dan seterusnya akan menerima kunjungan pasukan Shanghai Shenhua pada 1 Oktober 2024 di Stadium Sultan Ibrahim.

 

Turut diundi dalam Kumpulan Bahagian Timur ACLE 2024/25 bersama JDT adalah Juara Liga K1 Korea Selatan, Ulsan HD FC; Juara Liga 1 Thailand, Buriram United; Juara Liga A-League Men Australia, Central Coast Mariners FC; Pohang Steelers dan Gwangju FC dari Korea Selatan.

 

Jentera perang JDT kali dilihat tampil lebih bersedia untuk sekali lagi menakluk pentas Asia setelah selesai menandatangani enam pemain baharu pada jendela perpindahan Ogos lalu membabitkan pemain berprofil tinggi seperti Christian Abad, Jun-heong Park, Eddy Israfilov, Enzo Lombardo, Iker Undabarrena dan Jorge Obregon.

 

Luaskan Kuasamu Johor!

 

#ACLElite
#TheTMJeffect
#SukanMDJ
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor