CALON LULUS SDKA 2025 MENINGKAT KEPADA 89.01 PERATUS

Ainul Mardhiah Azad (tengah) dinobatkan Pelajar Terbaik SDKA Tahun 2025 dengan 12 Gred 1, berkat doa dan disiplin dalam pembelajaran. | Foto MDJ Nurina Aisyah
#JohorBahru – Jumlah calon yang lulus dalam Peperiksaan Sijil Darjah Khas Agama (SDKA) bagi Tahun 2025 menunjukkan peningkatan yang signifikan apabila mencatat 89.01 peratus berbanding 83.47 peratus pada tahun sebelumnya.
Peratusan pencapaian bagi mata pelajaran al-Quran dan hafazan menunjukkan peningkatan sebanyak 99.97 peratus diikuti subjek Tauhid yang turut mencatatkan peningkatan sebanyak meningkat 90.06 peratus. Selain itu, bagi subjek elektif iaitu Tajwid pula turut melonjak apabila mencatat peningkatan sebanyak 88.49 peratus.
Selain itu, bilangan calon SDKA Tahun 2025 yang lulus juga mencatat peningkatan yang memberangsangkan apabila jumlah calon yang memperoleh Pangkat 1 SDKA kali ini meningkat kepada 9,853 orang, manakala 4,995 calon pula mendapat Pangkat 2 dalam peperiksaan awam agama berkenaan.
Daerah Kota Tinggi turut mencatatkan sejarahnya yang tersendiri apabila muncul daerah terbaik apabila 20 Sekolah Agama Kerajaan Johor (SAKJ) di daerah berkenaan berjaya mendapat kelulusan 100 peratus dalam SDKA Tahun 2025.
Sekolah Agama(SA) Felda Air Tawar 4, Kota Tinggi muncul sekolah terbaik apabila 36 calon SDKA berjaya meraih Pangkat 1 dalam peperiksaan agama berkenaan, diikuti SA Penjara Simpang Renggam, Kluang (19 calon SDKA) serta SA Mawai Baru, Kota Tinggi (9 calon SDKA).
Bagi kategori Pelajar Terbaik SDKA Tahun 2025 pula dirangkul oleh Ainul Mardhiah Azad Anugerah dari SA Kangkar Pulai, Johor Bahru dengan memperoleh 12 Gred 1 dan beliau juga turut berkongsi rahsia kejayaan dengan sentiasa berdoa serta berdisiplin dalam mengikuti proses pembelajaran.
Ainul Mardhiah memberitahu kejayaan ini juga adalah hasil daripada mengingati pesanan ibu bapa serta guru yang sentiasa mendukung dan memberi tunjuk ajar sepanjang pembelajaran, selain turut mengamalkan solat sunat tahajud sebelum hari peperiksaan.
Beliau yang bercita-cita untuk menjadi seorang pensyarah suatu hari nanti turut menitipkan pesanan kepada bakal calon SDKA agar sentiasa menghormati ibu bapa, guru dan rakan-rakan, tidak mudah berputus asa serta sentiasa berdoa kepada Allah SWT bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Terdahulu, telah berlangsungnya Majlis Pengisytiharan Keputusan Peperiksaan SDKA Sekolah-sekolah Agama Kerajaan Johor Tahun 2025 yang disempurnakan oleh YBhg. Tuan Haji Nasri Md Ali, Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) di Dewan Asyura Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.
#JohorSafeZone
#SDKA
#JAINJ
#SAKJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


