DIRGAHAYU TUANKU

Raja Kita Selamat Bertakhta. Dirgahayu Tuanku.

 

 

Oleh Badrul Kamal Zakaria
Editor Kanan Media Digital Johor

 

 

Hujan… Ya. Hujan. Hujan memang selalu membawa riwayat. Hujan jugalah yang membawa peluang yang amat dinantikan iaitu untuk bersua secara langsung dengan sosok tubuh yang paling penulis kagumi iaitu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

 

Penulis masih ingat waktu itu. Kira-kira hampir 17 tahun yang lalu. Hujan turun dengan sangat lebatnya. ‘Saking’ lebatnya hujan tatkala itu telah menyebabkan beberapa kawasan di sebelah utara Johor telah dilanda banjir.

 

Adat periuk berkerak, Adat lesung berdedak. Penulis yang pada waktu hanyalah seorang wartawan muda yang masih bertatih telah diarahkan oleh Ketua Biro sebuah akhbar arus perdana tempat penulis berkerja sebelum ini untuk membuat liputan ke lokasi terjejas banjir.

 

Selepas menempuhi beberapa jam perjalanan dalam curahan hujan lebat berterusan, akhirnya penulis tiba di lokasi terjejas banjir di daerah Segamat atau lebih tepatnya di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Batu Badak.

 

Hujan yang lebat telah membataskan jarak penglihatan dan membuatkan langkah kaki penulis seolah-olah ‘terhincut-hincut’ untuk mengelak sebarang lopak air yang mungkin boleh memudaratkan dan akhirnya tibalah ke tempat yang perlu ditujui.

 

Sebaik tiba, penulis menjadi sedikit ‘kaget’ antara percaya atau tidak apabila betul-betul berada di hadapan Seri Paduka Baginda yang ternyata telah tiba lebih awal ke PPS berkenaan bagi menyantuni rakyat Baginda yang terkesan dengan kejadian banjir.

 

Keberadaan penulis berbaju hujan yang basah teruk itu telah menimbulkan situasi yang agak janggal dalam diri penulis kerana telah berdiri tepat di hadapan Seri Paduka Baginda, sosok tubuh yang paling penulis hormati dalam keadaan penampilan yang bukan satu kebiasaan selayaknya apabila bertemu seorang Sultan yang menjadi tempat rakyatnya berteduh.

 

Namun rasa janggal itu kian menghilang apabila Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku sempat menegur sapa mesra penulis yang kemudiannya membawa ‘rezeki’ bersalaman untuk kali pertama. Memang terasa bahagia, lebih-lebih lagi Baginda turut menitipkan titah pesan kepada penulis supaya menulis yang baik-baik dan membantu rakyat Johor yang terkesan dengan banjir pada waktu itu.

 

Itulah antara ‘momen’ paling istimewa kepada penulis sejak berkhidmat di bumi Johor yang bertuah ini. Kata orang tua-tua zaman dahulu, seperti ‘rongkongan mengadap mudik’, penulis juga beberapa kali diberikan rezeki oleh ilahi untuk mengadap Seri Paduka Baginda Sultan Ibrahim bagi membuat liputan berita berkaitan majlis Kerajaan Negeri atau pun menghadiri sidang media yang dikelolakan sendiri oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku.

 

Sejak itu atau kira-kira 17 tahun berkhidmat dalam dunia kewartawanan di Johor, setiap kali bersua dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku akan tetap menghadirkan rasa keterujaan dalam diri penulis seperti mana ‘momen’ awal… detik kali pertama mengadap Baginda.

 

Disebalik sifat tegas berwibawa dan keseriusan karisma yang ada dalam sosok tubuh Seri Paduka Baginda sebenarnya tetap tersimpan perasaan kasih sayang yang amat mendalam terhadap rakyatnya. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku juga amat mesra dan gemar bersenda gurau dengan rakyatnya tanpa mengira latar belakang seseorang itu.

 

Tidak hairanlah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta paduka anakanda Baginda khususnya Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor sememangnya dekat, dihormati, disayangi dan disanjungi oleh Bangsa Johor.

 

Demi untuk melihat Bangsa Johor yang sejahtera, Seri Paduka Baginda bukan sahaja sanggup mencemar duli menjelajah ke seluruh pelosok negeri ini menerusi program Kembara Mahkota Johor yang diadakan saban tahun untuk menemui sendiri rakyat Baginda, tetapi juga menubuhkan beberapa yayasan seperti Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) bagi membantu rakyat yang memerlukan.

 

Seri Paduka Baginda sentiasa hadir bersama rakyat dalam apa jua situasi sama ada suka mahu pun duka. Sebagai pemerintah Negeri Johor Darul Ta’zim dan jajahan takluknya, Tuanku Sultan Ibrahim memahami denyut nadi rakyat. Ketika negara diancam pandemik Covid-19 lalu, Seri Paduka Baginda bersama Keluarga DiRaja Johor tidak putus-putus menyalurkan pelbagai jenis bantuan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun bantuan berupa kotak makanan.

 

Tidak keterlaluan jika penulis katakan hubungan Seri Paduka Baginda dan Bangsa Johor sentiasa erat. Penulis telah berkelana dari timur ke barat, utara dan ke selatan di negara ini. Penulis juga juga pernah berpetualang ke banyak negara. Namun Johor tetap yang paling unik. Anda… Bangsa Johor sememangnya bertuah kerana mempunyai seorang Sultan yang sanggup bersama rakyat seperti kata bidalan, ‘Kuah Sama Dihirup, Sambal Sama Dicolek’.

 

Bertugas di Bandar Maharani, Bandar DiRaja juga turut memberi peluang kepada penulis untuk bersua dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku. Di Muar, Seri Paduka Baginda juga sentiasa menemui rakyat tidak kira waktu mahu pun malam. Malah, Seri Paduka Baginda juga sering kali menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid serta surau di sekitar daerah ini yang kemudiannya bersantapan pagi bersama jemaah di kedai berhampiran tanpa sebarang protokol.

 

Bekerjaya sebagai seorang wartawan juga turut membolehkan penulis menyingkap sedikit sebanyak keperibadian murni yang ada pada diri Seri Paduka Baginda terutama dari kaca mata rakyat Johor sendiri. Rata-rata Bangsa Johor sememangnya berbangga kerana memiliki seorang Sultan seperti Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ibrahim.

 

Keprihatinan Seri Paduka Baginda bukan hanya untuk Bangsa Johor semata-mata tetapi juga untuk rakyat Malaysia yang lain. Ini dapat dilihat menerusi penglibatan Baginda ‘di sebalik tabir’ bagi menangani inisiden pencerobohan Lahad Datu, Sabah oleh sekumpulan pengganas dari Sulu, Filipina.

 

Walaupun memerintah negeri yang terletak ribuan batu jauhnya dari kepulauan Borneo ternyata tidak menghalang Seri Paduka Baginda untuk turut sama membantu angkatan pertahanan negara menangani situasi getir waktu itu.

 

Insiden di Lahad Datu, Sabah sememangnya amat dekat dengan Keluarga DiRaja Johor. Masakan tidak, ketika penulis dan pengamal media lain dititahkan mengadap di Istana Pasir Pelangi, Seri Paduka Baginda turut memaklumkan paduka anakanda, YAM Almarhum Tunku Abdul Jalil Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Laksamana Johor turut bersedih dengan kejadian itu, lebih-lebih lagi ada sahabat Almarhum yang turut ditugaskan ke lokasi pertempuran berkenaan bagi mempertahankan tanah pertiwi.

 

Seri Paduka Baginda juga tidak hanya berdiam diri. Saluran diplomatik turut menjadi satu ‘senjata ampuh’ kepada Baginda Tuanku bagi menekan pasukan penceroboh di Lahad Datu, Sabah. Alhamdulillah, akhirnya insiden berkenaan dapat dipatahkan dengan baik dan keamanan di lokasi terlibat dapat dipulihkan.

 

Kini, selepas lebih dua tahun bersemayam di Istana Negara, Seri Paduka Baginda bukan sahaja membawa hala tuju negara yang lebih segar dan maju, tetapi juga membawa Malaysia ke arah yang lebih makmur.

 

Pendekatan sederhana dan diplomasi ‘bersahabat’ dengan banyak negara seperti China, Rusia, Bahrain dan banyak lagi telah membolehkan pelbagai peluang pelaburan masuk ke negara ini, sekali gus meningkatkan peluang ekonomi dan penjanaan pendapatan rakyat pada masa kini serta akan datang.

 

Kuat berdiri pohon kerana akarnya, Kuat akarnya disebabkan tanahnya. Justeru, ayuhlah kita bersama-sama laungkan ikrar taat setia untuk bersama-sama Seri Paduka Baginda untuk menjadikan Johor dan Malaysia yang lebih aman, makmur dan sentosa.

 

Raja Kita Selamat Bertakhta. Dirgahayu Tuanku.

 

#KDYMMSPBYDPASultanIbrahim
#DirgahayuTuanku
#YDPA
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor