DUA ANAK GAJAH JOHOR TUNGGU NAMA BAHARU

Bangsa Johor kini berpeluang menamakan dua anak gajah betina yang diselamatkan PERHILITAN di Kahang dan Bekok melalui pertandingan ‘Dua Anak Gajah, Dua Nama Baharu’. | Foto FB AH SOON

 

#IskandarPuteri – Bangsa Johor khususnya peminat flora dan fauna kini berpeluang menjadi sebahagian daripada sejarah untuk turut sama menamakan dua ekor anak gajah betina yang baharu sahaja diselamatkan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) di Kahang, Kluang dan Bekok, Segamat.

 

Pertandingan ‘Dua Anak Gajah, Dua Nama Baharu’ ini dilancarkan sebagai usaha meraikan kelahiran harapan baharu bagi pemuliharaan hidupan liar negeri, selain memperkukuh keterlibatan dan meningkatkan kesedaran rakyat dalam melindungi khazanah alam di sekitar Johor.

 

Pertandingan ini dibuka bermula hari ini hingga 14 Oktober depan dengan tawaran hadiah wang tunai RM1,500 kepada dua pemenang bertuah. Pemenang dengan nama baharu yang sopan, mudah disebut dan membawa maksud yang baik akan diumumkan pada 20 Oktober 2025 menerusi platform media sosial rasmi YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor.

 

Bagi menyertai pertandingan ini, orang ramai hanya perlu meninggalkan satu cadangan nama di ruangan komen posting rasmi beliau di Facebook atau TikTok @ahsoonyp. Penyertaan ini menjadi simbolik kepada peranan rakyat Johor dalam bersama-sama melindungi khazanah alam sekitar di negeri ini.

 

Usaha ini secara tidak langsung mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri yang sebelum ini telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif termasuk pembangunan Pusat Santuari Gajah Johor (JES) dan operasi translokasi gajah bagi menangani isu konflik gajah-manusia yang semakin meningkat.

 

Menerusi inisiatif ini juga, dua anak gajah ini bakal menjadi ikon baharu dalam usaha pemuliharaan hidupan liar Johor, dengan identiti yang lahir daripada ilham rakyat Johor sendiri. Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai pertandingan ini, orang ramai boleh menghubungi talian 017-7883001.

 

#JohorSafeZone
#AnakGajah
#GajahJohor
#PertandinganNamaBaharuAnakGajah
#SantuariGajahJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor