DULU DIBANTU, KINI MEMBANTU


Siti Raudhah Husin, pengusaha jus kedondong asam boi. | Foto MDJ Wira Anggara

 

#Muar – Siapa sangka seorang usahawan tempatan yang menjalankan perniagaan membuat jus kedondong asam boi bukan hanya memberi pulangan pendapatan yang lumayan kepada dirinya, sebaliknya rezeki itu turut sama dikongsi membantu penduduk lain untuk menjana pendapatan.

 

Itulah yang dilaksanakan oleh Siti Raudhah Husin yang sebelum ini menerima bantuan peralatan bernilai RM10,000 daripada Jabatan Pertanian Daerah Muar yang merangkumi mesin membasuh buah, pengisar dan peti sejuk beku bagi memudahkan proses penghasilan jus lebih mudah dan cepat.

 

Walaupun perniagaan yang diusahakan semakin maju, namun Siti Raudhah sesekali tidak melupakan masyarakat setempat dan bagi tujuan itu beliau mula menanam 300 pokok kedondong yang juga menjadi bahan utama bagi produk perusahaannya. Ia bertujuan untuk membolehkannya membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk kampung sama ada bekerja sebagai pemetik buah, pemproses buah atau bekerja terus di premis miliknya.

 

Perusahaan jus kedondong miliknya kini semakin berkembang apabila mula menerima permintaan yang memberangsangkan walaupun stigma awal penerimaan pelanggan agak negatif kerana rasanya yang agak masam. Namun ia berubah menjadi penerimaan positif apabila jus kedondong asam boi itu diolah, dimasukan campuran ekstrak tambahan bahan lain serta mengikut citarasa tempatan menjadikan jus kedondong asam boi semakin enak dan mula digemari ramai.

 

Selain dalam bentuk jus, buah kedondong juga boleh dijadikan sebagai jeruk dan ia memiliki khasiatnya yang tersendiri kerana mengandungi vitamin A, vitamin C dan zat besi selain kandungan serat yang tinggi.

 

Bagi mereka yang gemar atau ingin mencuba kelazatan jus kendondong asam boi yang diusahakan oleh Siti Raudhah boleh mendapatkannya di Laman Bakau, Parit Kassim pada tanda harga RM5 untuk botol besar manakala bagi botol kecil pula dijual pada harga RM4.

 

#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor