19 NEGARA SERTAI TRANS QJM GUNUNG PULAI ULTRA 2026

Seramai 1,100 peserta dari 19 negara menyertai Program Trans QJM Gunung Pulai Ultra 2026 di Taman Eko Rimba Gunung Pulai 1, Kulai, yang menguji ketahanan fizikal sambil mempromosikan keindahan panorama Gunung Pulai.
#Kulai – Seramai 1,100 peserta termasuk dari 19 negara mencabar kekentalan diri mereka apabila menyertai Program Trans QJM Gunung Pulai Ultra 2026 yang berlangsung di Taman Eko Rimba (TER) Gunung Pulai 1, Kulai.
Acara dua hari yang bermula Jumaat itu adalah anjuran Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) dengan kerjasama Kelab Aktiviti Luar Ribuan Kembara Negeri bukan sahaja menguji ketahanan fizikal tetapi juga memberi peluang kepada para peserta menikmati keindahan panorama Gunung Pulai pada ketinggian 654 meter dari aras laut.
Lebih memberangsangkan, program yang memasuki edisi ketiga penganjurannya itu turut menerima penyertaan antarabangsa membabitkan peserta dari Singapura, Belanda, Finland, China, Myanmar, Perancis, United Kingdom, Jepun, Filipina, Jerman, Switzerland, Thailand, Australia, Rusia, Amerika Syarikat, India, Indonesia dan Sepanyol.
Kehadiran peserta dari luar ini secara tidak langsung membuktikan program Trans QJM Gunung Pulai Ultra 2026 kini menjadi antara acara larian denai tumpuan peserta antarabangsa di negara ini khususnya di Negeri Johor, sekali gus menyemarakkan lagi kempen Tahun Melawat Malaysia dan Tahun Melawat Johor 2026.
Terdahulu, YBrs. Mohd Syahrir Azrin Salleh, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Johor (JPNJ) hadir menyempurnakan Trans Queen Of The Jungle Marathon (QJM) Gunung Pulai Ultra 2026 di Taman Eko Rimba (TER) Gunung Pulai 1, Kulai.
#JohorSafeZone
#JPNJ
#TransQJM2026
#VisitJohor2026
#HutanKitaAmanahKita
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



