82 PERATUS PENGUNDI AWAL TUNAI TANGGUNGJAWAB SETAKAT JAM 1 TENGAH HARI

YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor bersama YBhg. Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun, Pengerusi SPR, meninjau kelancaran proses pengundian awal PRU DN Johor Ke-16 di Dewan Pengaman Zamrud, Taman Perumahan Polis, Jalan Padang Tembak, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim, Kem Batu 3 dan Kem Mahkota, Kluang. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#Kluang – Peratusan keluar mengundi bagi pengundian awal Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Johor Ke-16 mencapai 82 peratus setakat jam 1 tengah hari yang melibatkan 64 pusat mengundi awal di seluruh negeri ini.

 

Pada PRU DN Johor kali ini, seramai 20,607 pemilih terlibat dalam proses pengundian awal yang terdiri daripada 12,063 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasangan serta 8,544 anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasangan.

 

Kesemua 64 pusat mengundi awal ini mula beroperasi pada jam 8 pagi, dengan 29 pusat mengundi telah ditutup pada jam 12 tengah hari. Sementara itu, lima pusat mengundi akan ditutup pada jam 2 petang dan baki 28 pusat mengundi lain pula dijadualkan ditutup pada jam 5 petang.

 

Berikutan perkembangan yang memberangsangkan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan peratusan keluar mengundi awal sekitar 96 peratus berdasarkan pencapaian pada pilihan raya sebelum ini.

 

Undi awal ini akan dikira bersama undi biasa pada hari pengundian sebenar pada 11 Julai 2026, manakala keputusan penuh PRU DN Johor Ke-16 dijangka diketahui sebelum jam 12 tengah malam, malah berkemungkinan seawal jam 10 malam sekiranya proses pengiraan berjalan lancar.

 

Sehingga 7 Julai, SPR turut merekodkan 588 kesalahan pilihan raya, selain menerima 44 laporan polis dan tiga laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

 

Terdahulu, YB Dato’ Mohammed Ridha Dato’ Abd Kadir, Setiausaha Kerajaan Johor bersama YBhg. Dato’ Sri Ramlan Dato’ Harun, Pengerusi SPR, meninjau kelancaran proses pengundian awal PRU DN Johor Ke-16 di Dewan Pengaman Zamrud, Taman Perumahan Polis, Jalan Padang Tembak, Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sir Ibrahim, Kem Batu 3 dan Kem Mahkota, Kluang.

 

#JohorSafeZone
#PRUDNJohorKe16
#PRNJohor
#MehNgundi
#JohorMemilih
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor