TERTIB PEMAKAIAN SAMPING KEKALKAN IDENTITI JOHOR
“Perbezaan pemakaian Baju Melayu Johor dengan negeri lain dapat dibandingkan melalui cara pemakaian samping dan potongan bajunya yang membuatkan identiti orang Johor mudah dikenali,” kata Jurulatih Bahagian Perhubungan Awam, Media dan Korporat Yayasan Warisan Johor, Zurawaty Husin.
Beliau memberitahu busana warisan ini dikatakan berasal daripada baju kurung Teluk Belanga yang labuh hingga ke paras lutut, lengkap berpesak dan berkekek malah tradisi pemakaian dipercayai dipelopori sejak zaman pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar.
“Baju Melayu Teluk Belanga ini biasanya dipakai secara sedondon (atas dan bawah) oleh orang kebanyakan. Namun, pemakaian baju kurung Teluk Belanga secara tidak sedondon lebih digemari kerabat DiRaja Johor yang diperbuat dari kain sutera atau kain kapas yang tidak bercorak. Ia juga dipadankan dengan kain samping yang berdagang luar, bercorak Muar berbunga renek atau songket,” ujar beliau.
Zurawaty memaklumkan evolusi pemakaian baju Melayu Teluk Belanga ini bermula sekitar tahun 1886 apabila Menteri Besar Johor yang pertama, Dato’ Jaafar Muhammad telah meminda pemakaian baju Melayu Teluk Belanga secara sedikit demi sedikit dengan menyelaraskan paras labuh baju hingga ke paras atas lutut, namun masih mengekalkan pesak dan kekek serta mempunyai tiga kocek di bahagian hadapan.
Tambah beliau, keunikan pemakaian baju Melayu Teluk Belanga di Negeri Johor ini diserikan dengan cara pemakaian samping sama ada berdagang dalam ataupun luar selain dapat membezakan status sosial masyarakat pada zaman dahulu.
“Cara pemakaian samping orang Johor ada dua cara sekali gus dapat membezakan status si pemakai. Kalau golongan bangsawan, cara pemakaian sampingnya berada di luar dan bajunya ‘tuck-in’ di dalam. Bagi pemakaian samping berdagang dalam, ia menempatkan samping di bahagian dalam manakala bajunya di luar.
“Dari situ ia menunjukkan bagaimana dua kocek berada di hadapan (satu di bahagian dada) dan kain samping itu terletak di belakang bawah baju. Dengan pemakaian cara berdagang dalam ini kita dapat tahu mereka merupakan golongan kebanyakan (orang awam),” jelasnya.
Selain itu, Zurawaty turut memperincikan paras labuh kain melambangkan status si pemakai di mana indikator bagi labuh samping berada di bawah paras lutut melambangkan status pemakai sudah berkahwin, manakala labuh samping di atas paras lutut pula menunjukkan si pemakai masih bujang.
Mengenai cara menindan samping pula, kata beliau adalah sama mengikut tertib melakukan solat iaitu tangan kiri didahulukan dan disambungkan pada tangan kanan.
“Sebagai anak jati Johor, warisan pemakaian busana lengkap bersamping ini haruslah dikekalkan kerana ia mempunyai ciri-ciri yang melambangkan status keperibadian si pemakai,” ujarnya.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor