KERAJAAN JOHOR PERUNTUK RM600,000 HARGAI PETUGAS KESIHATAN

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor bergambar bersama petugas kesihatan ketika merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor Tahun 2026. | Foto MDJ Aisyah Mazalan

 

#IskandarPuteri – Kerajaan Johor terus menzahirkan komitmen dalam memperkukuh sektor kesihatan negeri menerusi peruntukan berjumlah RM600,000 sebagai tanda penghargaan kepada petugas kesihatan yang menjadi tulang belakang sistem penyampaian perkhidmatan berkenaan kepada rakyat.

 

Bagi maksud itu, sebanyak RM500,000 diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada jururawat di seluruh Johor sebagai pengiktirafan terhadap jasa, pengorbanan dan dedikasi mereka dalam memberikan rawatan serta penjagaan kesihatan terbaik kepada pesakit di negeri ini.

 

Pada masa sama, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan RM100,000 kepada Pembantu Pegawai Perubatan sebagai menghargai sumbangan golongan berkenaan yang turut memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran perkhidmatan kesihatan di fasiliti milik kerajaan.

 

Komitmen tersebut melengkapi usaha berterusan Kerajaan Johor yang telah memperuntukkan lebih RM42.13 juta bagi sektor kesihatan sepanjang tempoh 2022 hingga 2026 yang melibatkan kerja naik taraf fasiliti, penambahan peralatan perubatan serta bantuan kepada hospital, pejabat kesihatan daerah dan klinik di seluruh negeri ini.

 

Selain aspek kebajikan petugas kesihatan, Kerajaan Johor turut memberi perhatian serius terhadap isu kekurangan tenaga kerja kesihatan khususnya membabitkan profesion jururawat dan doktor yang masih dihadapi di beberapa fasiliti kesihatan di negeri ini.

 

Sehubungan itu, satu garis masa yang jelas akan diwujudkan bagi memastikan kekosongan jawatan berkaitan dapat diisi dengan kadar segera demi memperkukuh sistem penyampaian kesihatan serta meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti.

 

Usaha berkenaan selaras dengan pendirian Kerajaan Johor yang sentiasa meletakkan sektor kesihatan sebagai antara agenda utama pembangunan negeri memandangkan ia berkait rapat dengan kesejahteraan, keselamatan dan nyawa Bangsa Johor.

 

Perkara berkenaan dizahirkan oleh YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor ketika merasmikan Sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri Johor Tahun 2026 di Hotel Sunway Bigbox, hari ini.

 

Turut hadir YB Tuan Ling Tian Soon, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor serta Dr. Mohtar Pungut, Pengarah Kesihatan Negeri Johor.

 

#JohorSafeZone
#KesihatanJohor
#JururawatJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor