‘BUNGA MUAR’ SEBAGAI ELEMEN MOTIF CORAK CETAKAN EKO FABRIK
Corak bunga ‘Kockiana’ yang menjadi bunga rasmi bagi daerah Muar diangkat menjadi tema dalam menghasilkan corak cetakan eko bagi rekaan fabrik.
Lebih menarik, keunikan corakan cetakan eko berkenaan menggunakan bunga dan daun di atas permukaan fabrik, sekali gus menghasilkan imej cetakan dengan warna asli tanpa sebarang campuran bahan tambahan.
Pengusaha Loxa Enterprise, Misbaahussalam Zakaria, memberitahu produk cetakan eko seumpama ini adalah hasil kajian dan penyelidikan yang dilaksanakan sebelum ini terhadap beberapa tumbuhan yang kemudiannya inovasi ini diterjemahkan dalam produk cetakan eko.
Katanya, proses pembuatannya agak rumit kerana perlu dilakukan secara manual dan teliti bermula dari proses pendidihan hingga pengukusan yang mengambil tempoh yang agak lama.
Bagi proses cetakan pula, ia menggunakan dua kaedah gulungan atau ketukan supaya kesan warna yang terhasil lebih menyerap ke atas permukaan fabrik. Ini kerana warna yang dihasilkan menerusi cetakan eko ini terdiri daripada alam semula jadi.
Justeru, antara daunan yang sering digunakan ialah daun eucalyptus, ceri, petai belalang, bunga cosmos, kemboja, bunga raya, bunga Muar dan lain-lain yang akan dijadikan corak cetakan semestinya perlu mempunyai kecantikan, keunikan dan impak klasiknya yang tersendiri.
Atas sebab elemen itulah, setiap produk fabrik yang dihasilkan mampu dijual pada tanda paras harga antara RM100 hingga RM500 memandangkan cetakan eko ini bersifat eksklusif, unik kerana sifat daun yang berbeza dan memerlukan tenaga kerja yang banyak.
Disebabkan itulah, Loxa Enterprise berazam untuk menyertai lebih banyak acara pameran besar bagi tujuan mempromosi dan menjual hasil cetakan eko kepada pengguna luar berikutan potensinya yang tinggi.
Antara produk yang turut dihasilkan menerusi teknik cetakan eko ini ialah tudung, kemeja, t-shirt, kain pasang, sarung kaki, tote beg dan pelbagai jenis rekaan fabrik yang lain.
Diharapkan industri kraftangan ini mampu melonjak lebih tinggi bukan sahaja dikenali oleh masyarakat tempatan, tetapi juga menjadi rebutan sehingga ke seluruh dunia kelak.
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor