RMK13 : JOHOR BERADA DI LANDASAN KUKUH SEBAGAI NEGERI MAJU 2030

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri bersama YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor. | Foto FB Anwar Ibrahim.

 

Oleh YB Tuan Lee Ting Han
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor

 

 

1. Kerajaan Negeri menyambut baik pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Parlimen. RMK13 merupakan dokumen pembangunan nasional yang selari dengan aspirasi Agenda Maju Johor untuk mencapai status negeri maju menjelang tahun 2030.

 

2. RMK13 hadir ketika Johor mencatatkan pencapaian cemerlang dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia sebanyak 6.4 peratus pada tahun lalu. Prestasi ini bukan sahaja membuktikan kekuatan daya saing ekonomi, tetapi mencerminkan keyakinan tinggi pelabur terhadap persekitaran pelaburan Johor yang semakin progresif.

 

3. Melalui pendekatan bersepadu antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, RMK13 dijangka memperkukuhkan lagi pembangunan pesat negeri, memastikan kesinambungan dasar dan kelancaran pelaksanaan projek strategik yang berupaya menjadikan Johor sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi baharu negara.

 

4. Pengiktirafan terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) sebagai salah satu teras utama RMK13 menzahirkan keazaman bersama untuk mempercepat integrasi ekonomi serantau dan menarik pelaburan berkualiti dan berimpak tinggi.

 

5. Penubuhan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) dan komitmen terhadap memudah cara pelaburan rentas sempadan secara tidak langsung memperkukuhkan sinergi antara dasar negeri serta persekutuan dalam merancakkan pembangunan ekonomi Johor.

 

5. Tumpuan turut diberikan kepada pembangunan infrastruktur strategik yang menjadi tulang belakang pertumbuhan negeri. Antara yang diberi keutamaan termasuklah Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (PLBEGJB), sistem ART Bertingkat (E-ART) di Wilayah Iskandar serta kerja naik taraf Lebuhraya Utara-Selatan PLUS laluan Senai Utara-Machap.

 

6. Selain itu, projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link menghubungkan Johor Bahru dan Singapura dilihat sebagai transformasi besar dalam mobiliti serantau, bukan sahaja memudahkan pergerakan harian ribuan pekerja dan pelancong malah turut mengurangkan kesesakan di pintu sempadan dan memperkukuh integrasi ekonomi Johor-Singapura.

 

7. Pada masa sama, projek pembesaran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) yang diumumkan di bawah RMK13 dijangka meningkatkan kapasiti dan kecekapan pengendalian pelabuhan sekali gus memperkukuhkan peranan Malaysia sebagai hab logistik maritim rendah karbon yang kompetitif di peringkat serantau.

 

8. Kerajaan Negeri juga menyambut baik fokus terhadap kesejahteraan rakyat termasuk pembinaan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA 2) di Johor Bahru. Projek ini merupakan pelaburan strategik dalam sistem kesihatan negeri yang bakal membantu mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada dan meningkatkan akses kesihatan berkualiti kepada rakyat Johor.

 

9. Dalam sektor teknologi dan digital, penekanan terhadap Kecerdasan Buatan (AI), pembangunan pusat data dan infrastruktur digital dilihat seiring dengan kekuatan Johor sebagai destinasi pelaburan teknologi tinggi.

 

10. Dengan kemajuan pesat industri digital dan pusat data di negeri ini, RMK13 membuka peluang besar untuk Johor menjadi peneraju dalam ekonomi digital, tenaga boleh baharu dan industri semikonduktor bernilai tinggi.

 

11. Johor turut melihat Pelan Hala Tuju Transformasi Air 2040 (AIR 2040) serta inisiatif ekonomi hijau seperti Pembangunan Grid Pintar dan Sistem Penyimpanan Tenaga (BESS) adalah sejajar dengan komitmen negeri terhadap agenda kelestarian dan penggunaan sumber secara berhemah.

 

12. Pengiktirafan kepada Johor sebagai antara lokasi Zon Pelaburan Pelancongan Strategik (STIZ) turut memperkukuh lagi ekosistem pelancongan negeri menjelang Tahun Melawat Johor 2026 sekali gus selari dengan matlamat menjadikan pelancongan sebagai antara penyumbang utama kepada KDNK negeri pada masa akan datang.

 

13. Kerajaan Negeri yakin pelaksanaan RMK13 yang bersifat inklusif dan strategik akan melonjakkan potensi Johor ke tahap yang lebih tinggi, mempercepat pencapaian status negeri maju dan memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat serta ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

 

#WTN
#RMK13
#JohorHomeOfChampions
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor