JOHOR CATAT PENINGKATAN PERMOHONAN SIJIL HALAL, CECAH 607 SETAKAT SEPTEMBER

Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding 561 permohonan yang diterima sepanjang tahun 2025 dan hanya 133 permohonan pada 2024, sekali gus mencerminkan kesedaran serta penyertaan yang semakin meningkat dalam ekosistem industri halal di negeri ini. | Foto Arkib MDJ
#IskandarPuteri – Minat dan kecenderungan usahawan di Johor untuk mendapatkan sijil pengiktirafan halal terus menunjukkan peningkatan positif apabila sebanyak 607 permohonan baharu Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah direkodkan sehingga September 2026.
Jumlah berkenaan menunjukkan peningkatan ketara berbanding 561 permohonan yang diterima sepanjang tahun 2025 dan hanya 133 permohonan pada 2024, sekali gus mencerminkan kesedaran serta penyertaan yang semakin meningkat dalam ekosistem industri halal di negeri ini.
Peningkatan permohonan SPHM ini menjadi antara perkara yang diberi perhatian pada Mesyuarat Majlis Halal Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2026 bagi memastikan proses pensijilan terus diperkasa dan akses kepada pensijilan halal dapat diperluas kepada lebih ramai usahawan di negeri ini pada masa akan datang.
Usaha memperkukuh ekosistem halal turut merangkumi pembangunan usahawan, pemerkasaan bakat dan TVET halal, pembangunan logistik halal serta peluasan akses pasaran bagi meningkatkan daya saing industri halal Johor.
Sehingga Jun tahun ini, Johor merekodkan 1,743 pemegang SPHM aktif, selain berada di kedudukan kedua bagi pelaburan halal yang diluluskan dengan nilai sebanyak RM790.91 juta yang melibatkan 27 projek.
Perkembangan ini turut didukung kerjasama agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Perbadanan Kemajuan Halal Johor (JHDC), pihak berkuasa tempatan (PBT), institusi pengajian tinggi (IPT) serta pemain industri.
Menerusi Pelan Kemajuan Halal Negeri Johor 2030 (PKHNJ 2030), usaha memperkukuh ekosistem halal akan terus diperkemas dengan memberi tumpuan utama kepada pembangunan usahawan berdaya saing, peningkatan pelaburan, pewujudan peluang pekerjaan serta peluasan pasaran produk halal Johor.
Terdahulu, YB Tuan Mohd Fared Mohd Khalid, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, mempengerusikan Mesyuarat Majlis Halal Negeri Johor Bilangan 1 Tahun 2026 bagi membincangkan usaha memperkukuh pembangunan ekosistem halal di negeri ini.
#JohorSafeZone
#HalalJohor
#PKHNJ2030
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor


