KERAJAAN NEGERI ISYTIHAR DUA VARIASI BAHARU ZAPIN JOHOR

YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor menyempurnakan pengisytiharan variasi baharu zapin Johor di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh. | Foto Yayasan Warisan Johor
#Muar – Kerajaan Negeri melalui Yayasan Warisan Johor (YWJ) selepas hampir 15 tahun mengiktiraf secara rasmi dan mengisytiharkan dua variasi baharu zapin iaitu Zapin Ginjat dan Zapin Tanjung Selabu.
Pengisytiharan bersejarah itu menandakan pencapaian penting usaha pemeliharaan, pengembangan dan pewarisan seni budaya negeri khususnya memperkayakan khazanah zapin Johor apabila kali terakhir adalah pengumuman Zapin Selat Panjang dari Kluang pada tahun 2010.
Zapin Ginjat berasal dari Parit Tengah, Batu 18, Air Hitam, Muar manakala Zapin Tanjung Selabu pula berasal dari Kampung Tanjung Selabu, Bukit Pasir, Muar telah melalui proses kajian, dokumentasi dan pengesahan pakar warisan, penggiat zapin serta pihak berautoriti seni budaya sebelum diangkat secara rasmi sebagai variasi baharu zapin Johor.
YWJ percaya pengiktirafan berkenaan bukan sahaja memperkukuhkan kedudukan zapin sebagai seni tradisi unggul Johor malah membuka ruang baharu untuk penyelidikan, persembahan dan pengajaran seni tari itu dalam kalangan masyarakat serta institusi pendidikan.
Sebagai kesinambungan kepada usaha pemeliharaan dan pewarisan seni budaya, YWJ turut menganjurkan Pertandingan Zapin Peringkat Daerah bermula 20 September hingga 12 Oktober di seluruh daerah didahului dengan Muar seterusnya disusuli acara kemuncak Festival Zapin Jauhar 2025 pada 6 hingga 9 November depan.
Terdahulu, YB Tuan K. Raven Kumar, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor menyempurnakan pengisytiharan variasi baharu zapin Johor di Pusat Konvensyen Hab Pendidikan Tinggi Pagoh, hari ini.
Turut hadir, YB Tuan Ir. Ts. Mohamad Fazli Mohamad Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Negeri Johor; YBhg. Tuan Haji Zainal Eran, Pegawai Daerah Muar; YBhg. Tuan Haji Norrizam Muhamad, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Muar serta YBhg. Encik Fairuzahri Jalaluddin, Pengarah YWJ.
#JohorSafeZone
#YWJ
#Warisan&Budaya
#ZapinJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor