LEGO ‘FERRARI BUILD & RACE’ KINI DI JOHOR

YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan perasmian ‘Ferrari Build & Race Attraction’ di Legoland Malaysia Resort. | Foto Nurina Aisyah

 

#IskandarPuteri – Legoland Malaysia Resort terus memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia apabila memperkenalkan segmen ‘Ferrari Build & Race’ iaitu gabungan kehebatan Ferrari dan kreativiti LEGO sebagai daya tarikan baharu yang bakal menawarkan pengalaman interaktif pertama seumpamanya di Asia.

 

Bakal dibuka kepada orang ramai mulai 1 November ini, ‘Ferrari Race & Build’ akan menampilkan replika model ikonik Ferrari F50 yang dibina dengan menggunakan 421,652 kepingan elemen LEGO, selain ia juga turut mengambil masa 1,306 jam untuk mempersiapkan jentera ‘super car’ berkenaan yang mempunyai bebanan berat lebih 1,600 kilogram, sekali gus menjadikannya simbol ketepatan dan dedikasi terhadap seni bina LEGO.

 

Segmen baharu di Taman Tema Legoland Malaysia itu diilhamkan hasil kolaborasi strategik antara LEGO dan Ferrari ini bukan sahaja menambah nilai kepada landskap hiburan negeri, tetapi turut mencerminkan komitmen Johor dalam memperkukuh sektor pelancongan berasaskan pembelajaran dan inspirasi (learn and inspired tourism).

 

Melalui ‘Ferrari Build & Race Attraction’, pengunjung taman tema berkenaan bakal berpeluang membina jentera lumba ciptaan sendiri di ‘Build Zone’, sebelum ia akan melalui proses ujian kelajuan dan ketepatan di tiga laluan berbeza di ‘Test Zone’. Setiap cabaran ini sememangnya direka untuk menguji kreativiti dan kemahiran peserta dalam mengendalikan rekaan LEGO Ferrari mereka.

 

Selain itu, segmen ‘Virtual Race Zone’ juga akan membolehkan pengunjung untuk mengimbas model LEGO masing-masing untuk ‘menghidupkan’ jentera mereka secara maya di litar percubaan popular jentera Ferrari Pista di Fiorano, Maranello, Itali serta bersaing mendapatkan catatan masa terpantas.

 

Pembukaan ‘Ferrari Build & Race Attraction’ di Legoland Malaysia Resort mengukuhkan lagi kedudukan Johor sebagai hab pelancongan utama yang mesra keluarga, selain membuktikan kemampuan negeri ini untuk menarik kerjasama strategik bersama beberapa jenama global terkemuka dan seterusnya membantu mengangkat lebih banyak potensi sektor pelancongan berasaskan pengalaman dan pembelajaran (PdP) di negeri ini kelak.

 

Terdahulu, YAB Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Johor hadir menyempurnakan perasmian ‘Ferrari Build & Race Attraction’ di Legoland Malaysia Resort hari ini. Hadir sama ialah YB Dato’ Haji Asman Shah Abd. Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri Johor dan YBhg Encik CS Lim,Pengarah Bahagian Legoland Malaysia Resort.

 

#JohorSafeZone
#JohorHomeOfChampions
#LegolandMalaysia
#Ferrari
#VisitJohor2026
#MajesticJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor