CIKGU ROHANI BAKAR DINOBAT SEBAGAI TOKOH GURU 2025 NEGERI JOHOR

Hajah Rohani Bakar, 72, diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru 2025 Peringkat Negeri Johor. | Foto Aisyah Mazalan
#IskandarPuteri – Selepas 34 tahun tanpa sebarang rasa jemu dan penat mengabdikan diri dalam dunia pendidikan, hari ini pengorbanan itu ternyata berbaloi apabila Hajah Rohani Bakar, 72, diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru 2025 Peringkat Negeri Johor, sekali gus menjadi simbol penghargaan terhadap dedikasi beliau dalam membentuk generasi berilmu dan berdisiplin di negeri ini.
Walaupun tidak pernah terlintas dalam dirinya untuk menerima penghormatan itu namun penganugerahan itu tetap disambut dengan rasa syukur oleh Hajah Rohani yang pada masa sama mengakui tidak pernah menyangka jasa beliau masih dikenang walaupun telah lama bersara, sekali gus menjadi bukti bahawa Kerajaan Negeri Johor sentiasa menghargai peranan guru sebagai tunjang dalam pembinaan modal insan di negeri ini.
Memulakan kerjaya sebagai guru pada tahun 1977 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, Pontian, beliau yang masih mesra dengan panggilan Cikgu Rohani telah menempuh perjalanan panjang sebagai seorang pendidik membabitkan 11 sekolah di tiga negeri iaitu Johor, Melaka dan Selangor.
Pengalaman luas itu akhirnya membawa beliau kembali semula ke Johor sebagai pengetua di SMK Simpang Renggam, Kluang pada tahun 2003 sebelum menamatkan perkhidmatannya dalam profesyen perguruan pada tahun 2011. Lebih manis, sekolah itu juga menjadi sekolah paling lama beliau berkhidmat dan sememangnya meninggalkan kesan yang mendalam sepanjang tempoh lebih tiga dekad sejarah kerjaya pendidikannya.
Berpegang kepada prinsip mendidik berteraskan disiplin, adab dan kasih sayang, beliau sentiasa percaya bahawa pendidikan bukan sekadar platform penyampaian ilmu, tetapi juga medium penting dalam pembentukan sahsiah pelajar sehingga membawa kejayaan kepada ramai anak didiknya yang kini yang bergelar doktor, profesional dan selebriti, sekali gus menjadi kepuasan bagi dirinya.
Selain itu, beliau juga teruja melihat pembaharuan yang dibawa oleh Kerajaan Johor terhadap bidang pendidikan di negeri ini yang sentiasa menyentuh pelbagai aspek modal insan dan silibus termasuk inisiatif Sekolah Rintis Bangsa Johor (SRBJ) yang dilihatnya sebagai langkah progresif dalam melahirkan generasi berdaya saing.
Ibu kepada empat cahaya mata itu berharap pendidikan di Johor akan terus maju dan sentiasa relevan terutama selepas melihat komitmen berterusan Kerajaan Negeri terhadap guru serta institusi pendidikan, sekali gus mampu melahirkan generasi masa hadapan yang cemerlang.
Terdahulu, YB Tuan Aznan Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor hadir merasmikan Majlis Apresiasi Guru Peringkat Negeri Johor Tahun 2025 di Grand Ballroom, Sunway Hotel Big Box, baru-baru ini.
#JohorSafeZone
#TokohGuruJohor
#JPNJ
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor



