CPPDC TANGKAK KUKUHKAN BEKALAN MAKANAN, EKSPORT DURIAN JOHOR

YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor mengadakan Lawatan Kerja ke CPPDC di Pejabat FAMA Daerah Tangkak, hari ini | Foto FAMA Johor

 

 

#IskandarPuteri – Pelaksanaan Program Jaminan Bekalan Makanan di negeri ini terus diperkasa menerusi penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan, Pembungkusan dan Pengedaran (CPPDC) di Pejabat Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) daerah Tangkak.

 

Inisiatif strategik yang dioperasikan oleh MAPC Sdn Bhd ini bukan sahaja memodenkan rantaian nilai pertanian, malah berupaya meletakkan industri durian Johor pada landasan kukuh bagi menembusi pasaran antarabangsa yang bernilai tinggi.

 

Penubuhan CPPDC ini dirangka bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pemprosesan, mengembangkan pasaran global, mengurangkan kerugian pasca tuaian serta membangunkan infrastruktur sokongan kepada komuniti pertanian tempatan.

 

Bagi fasa satu pembangunan CPPDC Tangkak ini akan melibatkan pelaburan strategik yang merangkumi permohonan peruntukan RM2 juta melalui Program Mengoptimumkan Penggunaan Tanah di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Johor.

 

Selain itu, MAPC Sdn Bhd turut menzahirkan komitmen bagi pelaburan awal sebanyak RM2 juta yang akan digunakan dari segi aspek teknologi yang menjadi teras utama fasa ini. Ia termasuk pembangunan sistem nitrogen bagi memastikan jangka hayat produk durian menjadi lebih lama, berkualiti tinggi dan memenuhi keperluan eksport antarabangsa.

 

Terdahulu, YB Dato’ Zahari Sarip, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor mengadakan Lawatan Kerja ke CPPDC di Pejabat FAMA Daerah Tangkak, hari ini.

 

#JohorSafeZone
#CPPDC
#DurianJohor
#BangsaJohor
#MediaDigitalJohor
#SahihTepatPantas
#MajuJohor